MELAKA – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) akan diteruskan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, turut akan diteruskan ialah program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRA) dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT).
“Selepas kita diberi mandat oleh rakyat, kita akan buat balik (WRUR),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
pembukaan Program WRUR Masjid Tanah: Kampung Kita peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan penutupan Karnival Falak peringkat kebangsaan di Kompleks Al-Khwarizmi di Tanjung Bidara di sini hari ini.
Menurut Ab Rauf, WRUR, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) adalah satu program yang menjadi kemestian kepada kerajaan negeri jika masih kekal mentadbir selepas PRN akan datang.
Ia kerana, jelasnya, ketiga-tiga program berkenaan dilihat amat berkesan dalam menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat.
“Dia (WRUR) akan menjadi program prosedur operasi standards (SOP) kepada pentadbiran kerajaan negeri kerana kita diberikan amanah untuk mengurus tadbir rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, WRUR Masjid Tanah: Kampung Kita peringkat DUN Tanjung Bidara adalah program ke-28 dan terakhir bagi penggal ini.

Secara berseloroh, Ab Rauf berkata, program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang bakal diadakan pada 18 September ini akan jatuh pada hari Jumaat.
“Jelajah akan termasuk pada Hari Jumaat dan itulah…..Hari Jumaat ini kan jika…. ada lagi satu Jumaat,” katanya sambil tidak menjelaskan maksud sebenar hari Jumaat itu.
Beliau juga sempat mengusik media supaya tidak memintanya mengumumkan pembubaran DUN esok (Isnin).
“Kau jangan minta sangat bubar dewan esok nanti kau tak ada kerja lain,” katanya sambil tertawa. – MalaysiaGazzette
















