Special Branch defamation suit pontianak false claims
Gambar hiasan

Oleh: Dr. Mohd Zulfahmi bin Mohamad

BAGI generasi yang hidup sekitar 1970-an hingga awal 2000-an, kita mungkin masih mengingati beberapa gerakan keagamaan yang pada peringkat awal kelihatan kecil dan terbatas kepada kelompok tertentu. Ada yang bermula melalui pengajian agama, hubungan rapat antara pemimpin dengan pengikut atau komuniti yang dibina atas semangat persaudaraan dan ketaatan.

Namun sejarah menunjukkan bahawa kelompok seperti ini tidak semestinya kekal kecil. Pernah berlaku di negara ini sebuah gerakan yang pada awalnya berkembang melalui kegiatan dakwah dan komuniti, kemudian membina rangkaian perniagaan, pendidikan dan penempatan sendiri sehingga pengaruhnya berkembang ke luar negara. Apabila tindakan pihak berkuasa akhirnya dilakukan, yang dihadapi bukan lagi sekumpulan kecil pengikut, tetapi sebuah jaringan yang telah mempunyai struktur organisasi, kegiatan ekonomi dan pengaruh sosial yang luas.

Kita juga pernah menyaksikan kes yang berbeza sifatnya apabila sebuah kelompok yang dikaitkan dengan unsur keagamaan dan kerohanian akhirnya berkembang menjadi isu keselamatan negara. Keadaan tersebut menunjukkan bahawa sesuatu gerakan yang pada awalnya mungkin dianggap terpencil boleh berubah menjadi jauh lebih serius apabila ketaatan kepada pemimpin, dakwaan tertentu dan tindakan pengikut berkembang tanpa kawalan.

Dua pengalaman ini membawa satu pengajaran yang sama: jangan menilai sesuatu gerakan hanya berdasarkan saiznya ketika ia mula dikesan. Kelompok yang mempunyai beberapa puluh pengikut hari ini boleh berkembang menjadi jaringan yang jauh lebih besar sekiranya mempunyai kepimpinan yang kuat, sumber kewangan, kegiatan ekonomi dan sistem perekrutan yang tersusun. Lebih-lebih lagi pada zaman digital, proses yang dahulu mengambil masa bertahun-tahun mungkin berlaku dalam
tempoh yang jauh lebih singkat.

Pengalaman lalu juga memberikan satu pengajaran penting: menangani ajaran sesat atau gerakan yang menggunakan agama secara menyeleweng tidak boleh bergantung kepada satu agensi atau satu bentuk undang-undang sahaja. Kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa tertentu termasuk berkaitan keselamatan, penerbitan, komunikasi dan kesalahan jenayah Persekutuan.

Pada masa yang sama, institusi agama negeri memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan sesuatu ajaran dari sudut akidah, fatwa dan penguatkuasaan undang-undang Syariah. Pendekatan bersepadu inilah yang perlu diperkukuh.

Hari ini keadaannya jauh berbeza
Hari ini, satu video boleh tersebar kepada ribuan orang dalam tempoh sangat singkat. Telegram, WhatsApp, TikTok, Facebook dan YouTube boleh menghimpunkan pengikut dari pelbagai negeri tanpa mereka pernah bertemu secara fizikal. Ceramah boleh dilakukan secara langsung dari luar negara, rakaman dikongsi berulang kali dan bahan ajaran disebarkan terus melalui telefon.

Lebih membimbangkan, pemimpin dan penggerak ajaran sesat semakin mahir menggunakan media sosial. TikTok Live, misalnya, membolehkan seseorang berinteraksi terus dengan khalayak, menjawab soalan, membina kepercayaan dan menarik pengikut baharu tanpa memerlukan pusat pengajian. Proses membina pengaruh yang dahulu mungkin mengambil masa bertahun-tahun kini boleh berlaku jauh lebih pantas.

JAKIM sendiri mengakui cabaran penyebaran ajaran sesat melalui media sosial serta keperluan memperkukuh kerjasama Persekutuan-negeri. Dalam dunia digital, seseorang tidak lagi perlu hadir ke pusat pengajian untuk terdedah kepada sesuatu ajaran. Kandungan itu boleh datang terus melalui telefon, dikongsi kenalan atau muncul berulang kali melalui
algoritma media sosial.

Justeru, kita perlu bertanya: adakah mekanisme undang-undang yang ada sekarang benar-benar mampu menghadapi ancaman seperti ini? Ajaran sesat sudah berubah. Cara mereka merekrut berubah. Cara mereka berkomunikasi berubah. Cara mereka membina pengaruh dan mendapatkan dana juga berubah. Jika bentuk ancaman sudah berubah, mekanisme untuk menghadapinya juga tidak boleh terus kekal seperti dahulu.

Perundangan usang perlu dinilai semula
Satu perkara yang perlu dinilai secara serius ialah kadar hukuman yang ada pada hari ini, termasuk hukuman bagi kesalahan Syariah di negeri-negeri yang beroperasi dalam kerangka bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, bidang kuasa hukuman Mahkamah Syariah masih terhad kepada penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali, atau gabungan
hukuman tersebut.

Had maksimum itu ditetapkan melalui pindaan pada 1984. Ini bermakna kerangka berkenaan sudah berusia lebih 40 tahun. Kerajaan sendiri memaklumkan di Parlimen pada 2025 majoriti pihak yang terlibat dalam sesi libat urus bersetuju Akta 355 perlu dipinda supaya lebih relevan dengan perkembangan semasa. Di sinilah kita perlu berani mengakui bahawa undang-undang yang dibentuk berdasarkan realiti lebih 40 tahun lalu tidak boleh terus digunakan seolah-olah keadaan masyarakat masih sama.

Pada 1980-an, belum wujud TikTok, Telegram, WhatsApp, YouTube atau live streaming yang membolehkan ajaran agama disampaikan kepada ribuan orang dalam tempoh singkat. Selain pada zaman itu belum wujud lagi keupayaan transaksi digital yang membolehkan sumbangan, jualan produk dan urusan kewangan kumpulan dilakukan dengan pantas tanpa batasan lokasi.

Kita juga tidak lagi hanya berhadapan dengan seorang guru yang mengajar beberapa pengikut di sebuah rumah. Hari ini sesuatu kumpulan boleh menghimpunkan ribuan pengikut dari beberapa negeri, menyebarkan ajaran melalui media sosial, menerima sumbangan, menjual produk dan pada masa sama membina jaringan ekonomi yang mengukuhkan kedudukan mereka.

Malah, setakat artikel ini ditulis, berdasarkan perkembangan yang dapat diperhatikan di ruang awam dan media sosial, adalah dipercayai sudah wujud entiti yang dikaitkan dengan ajaran meragukan serta memperlihatkan ciri-ciri struktur organisasi yang sangat tersusun, jaringan perniagaan, kemudahan pengeluaran sendiri dan kegiatan ekonomi dalam beberapa sektor. Perkembangan seperti ini seharusnya menjadi isyarat awal kepada pihak berkuasa agama untuk memberikan perhatian dan melakukan penelitian lanjut sebelum jaringan berkenaan berkembang menjadi lebih besar.

Kita mungkin sedang berhadapan bukan dengan kelompok kecil, tetapi gerakan yang mempunyai kekuatan organisasi, kewangan dan jaringan pengikutnya sendiri. Dalam keadaan seperti ini, kita wajar bertanya dengan lebih tegas: adakah denda maksimum RM5,000 masih membawa kesan pencegahan yang sebenar? Saya pulangkan jawapan ini untuk kita renung bersama.

Mungkin bagi seorang individu, RM5,000 mungkin jumlah yang besar. Tetapi bagi kumpulan yang mempunyai rangkaian ekonomi kukuh, kegiatan perniagaan dan pengikut yang ramai, denda sedemikian mungkin tidak lagi memberikan kesan yang benar-benar dirasai.

Lebih membimbangkan, hukuman itu boleh dianggap sekadar satu kos kecil yang tidak memberikan kesan kepada si pelaku. Jika hukuman boleh dibayar tanpa sedikit pun menjejaskan operasi, perniagaan atau penyebaran sesuatu gerakan, apakah mesej pencegahan yang sebenarnya dihantar oleh undang-undang?

Semakin besar jaringan, semakin luas penyebaran dan semakin kukuh kedudukan ekonominya, semakin besar juga mudarat yang boleh ditimbulkan kepada masyarakat. Realiti ajaran sesat sudah berubah. Undang-undang yang digunakan untuk menanganinya juga mesti berubah.

Ini bukan sekadar seruan untuk “meningkatkan hukuman”. Hukuman mesti benar-benar setimpal dengan peranan pelaku, skala penyebaran, jumlah pengikut, penggunaan media sosial, kekuatan jaringan ekonomi dan kesan kepada masyarakat. Pengasas dan arkitek ajaran tidak sepatutnya dilayan sama seperti pengikut yang baru terpengaruh.

Cabaran berada dalam telefon
Jika dahulu pegawai penguat kuasa mencari buku, risalah, pusat pengajian atau tempat pertemuan, bahan utama hari ini mungkin berada sepenuhnya dalam sebuah telefon pintar: rakaman suara, video, Telegram, WhatsApp, dokumen digital, siaran langsung atau kelas dalam talian. Keadaan lebih rumit apabila pemimpin kumpulan berada di luar Malaysia, sedangkan pengikutnya berada di beberapa negeri.

Kerajaan pada Mac 2026 memaklumkan di Dewan Negara bahawa pindaan berkaitan undang-undang keterangan dan tatacara jenayah Syariah sedang diteliti bagi menangani kesalahan dalam talian dan bahan elektronik. Ini perkembangan yang baik.

Penguatkuasaan memerlukan tatacara jelas dalam pengumpulan bukti digital, pengesahan pemilik akaun, penyimpanan rekod elektronik, hubungan kandungan dengan individu yang menghasilkannya serta kerjasama dengan penyedia platform. Tanpa mekanisme jelas, pihak berkuasa mungkin mengetahui bahawa sesuatu ajaran sedang berkembang, tetapi masih sukar
membuktikan siapa yang mengendalikan akaun, menghasilkan kandungan atau mengarahkan pengikut.

Jejaki aliran wang
Ajaran sesat moden tidak lagi bergerak sebagai gerakan agama semata-mata. Sesetengahnya berkeupayaan membina ekosistem melalui jualan produk, yuran, sumbangan, perniagaan dan pelbagai kegiatan ekonomi. Arahan seorang ketua sahaja boleh mengumpulkan jumlah wang yang besar dalam tempoh singkat melalui media sosial.

Pihak berkuasa perlu melihat dari mana wang diperoleh, siapa mengawal akaun, bagaimana dana digunakan dan sama ada kegiatan ekonomi membantu membiayai penyebaran ajaran. Jika terdapat unsur penipuan, pengubahan wang haram atau kesalahan kewangan lain di bawah undang-undang Persekutuan, tindakan agensi Persekutuan perlu berjalan serentak
dengan tindakan pihak berkuasa agama. Tindakan terhadap ajaran tidak boleh dipisahkan daripada rangkaian kewangan yang membantu gerakan terus hidup dan berkembang.

Malaysia perlu kerangka perundangan baharu
Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama memulakan perbincangan serius mengenai suatu Akta Pencegahan dan Pengawalan Ajaran Sesat yang disesuaikan dengan kerangka Perlembagaan Malaysia. Akta itu tidak semestinya mengambil alih kuasa negeri menentukan akidah, fatwa atau kesalahan Syariah.

Hak negeri sewajarnya dihormati. Apa yang diperlukan ialah mekanisme nasional yang menghubungkan tindakan negeri dengan agensi Persekutuan apabila gerakan melibatkan media sosial, kegiatan merentas negeri, rangkaian perniagaan, aliran kewangan, eksploitasi pengikut atau operasi dari luar negara.

Malaysia boleh mempelajari pengalaman Perancis melalui MIVILUDES, badan kerajaan yang memantau dan menyelaras tindakan terhadap penyelewengan gerakan kultus. Model tersebut tidak perlu diambil bulat-bulat. Tetapi satu perkara penting ialah pendekatannya tidak hanya bertanya apa yang dipercayai atau diajar, tetapi juga apa yang dilakukan pemimpin terhadap pengikutnya.

Tuntutan ketaatan tanpa soal, pemisahan daripada keluarga, mengambil kesempatan terhadap masalah emosi atau kewangan, mengawal kehidupan peribadi, menuntut penyerahan wang atau harta, mengugut pengikut yang mahu keluar serta menggunakan dakwaan kuasa ghaib untuk memperoleh ketaatan perlu diberikan perhatian.

Kes Claude Alonso di Perancis memberikan contoh. Alonso membina kelompok yang memanggilnya “Zeus”. Pada September 2022, beliau disabitkan atas kesalahan termasuk rogol serta penyalahgunaan kelemahan seorang mangsa dalam keadaan kebergantungan mental dan dijatuhi hukuman 18 tahun penjara.

Perancis memperkukuh undang-undangnya pada 2024. Bagi kesalahan tertentu melibatkan penciptaan atau eksploitasi kebergantungan psikologi atau fizikal, hukuman boleh meningkat sehingga lima tahun penjara dan denda €750,000 (RM3.52 juta) apabila terdapat faktor pemberat seperti penggunaan media digital, mangsa bawah umur atau kesalahan dilakukan
pemimpin kumpulan. Dalam keadaan lebih serius, hukuman boleh mencecah tujuh tahun penjara dan denda €1 juta (RM4.7 juta).

Perbezaan ini sepatutnya membuatkan kita berhenti dan berfikir. Jika negara lain sanggup mengenakan hukuman yang benar-benar berat terhadap eksploitasi dan manipulasi pengikut, adakah denda maksimum RM5,000 dalam kerangka kita masih boleh dianggap mempunyai daya pencegahan yang mencukupi terhadap pemimpin gerakan yang mempunyai ribuan pengikut, perniagaan dan sumber kewangan sendiri? Saya pulangkan jawapan untuk kita renungkan sejenak.

Hukuman tegas bukan bertujuan menghukum tanpa pertimbangan. Ia perlu memberi isyarat yang jelas kepada pengasas, pemimpin dan penyebar aktif bahawa menggunakan agama untuk membina pengaruh, mengawal pengikut dan memperoleh keuntungan bukan suatu kesalahan kecil. Jika denda terlalu rendah sehingga boleh dibayar tanpa menjejaskan kegiatan organisasi, hukuman itu tidak lagi berfungsi sebagai pencegahan yang berkesan.

Pada masa sama, undang-undang sewajarnya membezakan antara mangsa dengan penggerak. Pengikut yang benar-benar terpengaruh perlu diberikan ruang pemulihan dan istitabah. Sebaliknya, pengasas, arkitek kultus, perekrut aktif dan pesalah berulang perlu berhadapan dengan tanggungjawab yang jauh lebih berat.

Ya! Malaysia sudah mempunyai pengalaman menangani kes-kes yang lalu melalui tindakan bersepadu. Yang diperlukan sekarang ialah memperkukuh mekanisme itu dengan undang-undang lebih jelas, penguatkuasaan yang sesuai dengan zaman digital dan hukuman yang benar-benar memberi kesan pencegahan.

Jangan tunggu sehingga sesuatu kumpulan mempunyai puluhan ribu pengikut, jaringan ekonomi yang besar dan pengaruh merentas negara baru hendak  bertindak. Pada ketika itu, masalahnya bukan lagi sekadar satu ajaran yang menyeleweng, tetapi sebuah gerakan yang sudah mempunyai kuasa, wang dan pengaruhnya sendiri.

Penulis adalah Pensyarah Kanan,
Unit Pengajian Islam dan Falsafah,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah
Universiti Utara Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here