Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom tiba di Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pendakwaan berhubung siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kelihatan ceria ketika tiba lebih awal di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pagi ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Bekas Ahli Parlimen Jerai berusia 65 tahun itu tiba dengan mengenakan kemeja putih dan sut hitam, lebih sejam sebelum prosiding dijadualkan bermula.

Kes beliau akan didengar di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Rosli Ahmad pada jam 9.30 pagi ini.

Kehadirannya hari ini susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara yang dibangkitkan dalam Laporan RCI TH.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, pada Khamis lalu mengesahkan seorang bekas menteri akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dilaporkan berkata, pendakwaan itu berkaitan kes yang disiasat berdasarkan Laporan RCI TH selepas SPRM memperoleh kebenaran daripada Peguam Negara untuk mengemukakan pertuduhan.

SPRM sebelum ini mengesyorkan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

Seksyen berkenaan memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana individu yang dengan curangnya menyalahgunakan atau menjadikan untuk kegunaan sendiri, atau menyebabkan mana-mana orang melupuskan, apa-apa harta.

Jamil Khir sebelum ini direman selama lima hari sehingga 6 September sebelum tempoh reman dilanjutkan dua hari lagi sehingga 8 September bagi membantu siasatan.

Beliau kemudiannya dibebaskan selepas tempoh reman berakhir dan kini hadir ke mahkamah untuk menghadapi proses pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here