KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan reformasi pendidikan sebenar bukan menukar bentuk peperiksaan secara tunggal, tetapi dimulakan dengan sekolah satu aliran.
Presiden GPMS, Fazreen Fauzi berkata, Malaysia memerlukan satu sistem pendidikan kebangsaan yang kukuh dan mampu menyatukan anak-anak Malaysia sejak di bangku sekolah.
Menurutnya, ia termasuk dengan kurikulum kebangsaan yang seragam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama serta ruang interaksi yang lebih luas antara anak-anak Malaysia.
Ujarnya, keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menganggap bahawa sistem peperiksaan merupakan punca utama kelemahan pendidikan negara.
Ini kerana, jelas beliau, prestasi pelajar dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk kualiti guru, pedagogi, penguasaan asas membaca, menulis dan mengira, kemahiran berfikir, disiplin pembelajaran, kemudahan sekolah, sokongan keluarga serta jurang pendidikan.
“Menukar sistem peperiksaan tanpa memperbaiki faktor-faktor tersebut ibarat menukar meter kelajuan kereta tetapi tidak membaiki enjinnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan cadangan Guan Eng supaya kurikulum pendidikan berasaskan merit serta satu peperiksaan untuk semua sebagai usaha memperbaiki kedudukan Malaysia dalam PISA.
Bagaimanapun, Guan Eng tidak memperincikan bentuk peperiksaan berkenaan atau kaedah pelaksanaannya, termasuk kaitannya dengan sistem peperiksaan sedia ada.
Fazreen menambah, GPMS melihat satu kecenderungan yang perlu dihentikan apabila sesuatu isu pendidikan mendapat perhatian adalah pelbagai pihak tampil dengan cadangan besar seolah-olah ia penyelesaian segera.
Sedangkan, ujarnya, ia menimbulkan persoalan berhubung pihak yang akan menanggung akibat sekiranya cadangan tersebut tidak disediakan dengan kajian dan perancangan yang mencukupi
“Hari ini kita mengubah sistem. Dua atau tiga tahun kemudian timbul pula masalah pelaksanaan, guru terpaksa menyesuaikan diri, sekolah perlu mengubah pendekatan dan akhirnya pelajar yang menjadi mangsa perubahan dasar.
“Pendidikan anak-anak Malaysia bukan medan untuk kita bereksperimen,” katanya.
Tambahnya, setiap reformasi mesti berasaskan kajian, data, kesiapsiagaan dan kesan jangka panjang bukan semata-mata kerana sesuatu cadangan itu kelihatan menarik di hadapan kamera.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan ahli politik termasuk Guan Eng supaya tidak menjadikan pendidikan medan mencari publisiti.
“Sebab itu GPMS berpandangan bahawa sekolah satu aliran perlu dibincangkan dan dimulakan secara serius sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan.
“Kita mahu anak-anak Malaysia bersaing berdasarkan merit tetapi pada masa yang sama mereka perlu membesar dalam ekosistem pendidikan yang membina ilmu, karakter, identiti kebangsaan dan perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette
















