Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom tiba di Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pendakwaan berhubung siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan wang milik institusi itu berjumlah RM860,308,770.51 antara 2015 hingga 2017.

Jamil Khir, 65, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham pertuduhan, saya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Jamil Khir didakwa secara tidak jujur menyebabkan TH melupuskan harta milik institusi itu berupa wang kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menyebabkan TH melupuskan RM42,942,074, bersamaan SAR44.170 juta, pada 3 April 2015.

Untuk pertuduhan kedua pula melibatkan  pelupusan RM288,172,134.64, bersamaan SAR250,041,622, pada 14 Disember 2016.

Manakala pertuduhan ketiga membabitkan wang berjumlah RM529,194,561.87, bersamaan SAR471,848,615, pada 17 Ogos 2017.

Pertuduhan itu didakwa ketia beliau merupakan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Aras 9, Blok D7, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya bagi pertuduhan pertama.

Bagi dua pertuduhan berikutnya, ia didakwa dilakukan di pejabat sama di Aras 10, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding berlangsung, Jamil Khir kelihatan tenang dan beberapa kali melemparkan senyuman kepada penyokong serta pihak media yang berada di galeri awam mahkamah.

Selepas pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusuf Khan memohon Jamil Khir dikenakan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Farah Ezlin berkata, jumlah itu munasabah mengambil kira nilai wang yang menjadi perkara dalam ketiga-tiga pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Jamil Khir, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, memohon jumlah jaminan lebih rendah iaitu RM300,000 dengan seorang penjamin.

Hisyam berhujah jumlah RM1 juta yang dimohon pendakwaan adalah berlebihan, selain tiada bukti dikemukakan menunjukkan anak guamnya berisiko tidak hadir sepanjang prosiding.

Beliau turut merujuk keputusan Mahkamah Agung dalam kes Hero Tai, PP lwn Datuk Musaffa, berhubung prinsip penetapan jumlah jaminan yang antara lain bertujuan memastikan kehadiran tertuduh dan tidak boleh berlebihan.

Mahkamah kemudian membenarkan Jamil Khir diikat jamin RM300,000, seperti yang dimohon pihak pembelaan, dengan syarat tambahan antaranya pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 5 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman, mengesahkan seorang bekas menteri akan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Jamil Khir sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung laporan RCI berkenaan sebelum dibebaskan.

Laporan RCI TH yang didedahkan pada 29 Julai lalu mengemukakan 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here