Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom tiba di Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pendakwaan berhubung siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan  mencabar pertuduhan terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu yang didakwa menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan wang berjumlah RM860.3 juta.

Peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, pihak pembelaan akan meneliti semua dokumen yang bakal diserahkan pendakwaan sebelum menentukan langkah seterusnya bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

“Saya yakin kita akan memberikan pembelaan yang terbaik. Saya percaya nanti semua akan melihat bahawa beliau didakwa di bawah Seksyen 403 hanya kerana menjalankan tugasnya sebagai seorang menteri.”

“Kita akan mempertahankan dengan sebaik mungkin. Insya-Allah, kita akan buktikan beliau tidak bersalah,” katanya ketika ditemui media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding hari ini.

Turut serta dalam sidang media, peguam Datuk Hamidi Mohd Noh.

Hisyam berkata, pihaknya juga akan mengkaji dokumen yang diserahkan oleh pendakwaan dengan teliti bagi membolehkan pasukan pembelaan menyediakan hujah yang kukuh.

“Dalam sesi seterusnya, pihak pendakwaan akan memberikan kami dokumen-dokumen yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Kami akan mempelajari dan meneliti dokumen-dokumen ini dengan betul, secara teliti dan menyediakan pembelaan yang kuat untuk Datuk Seri,” tambah beliau.

Menurutnya, sebutan semula kes ditetapkan pada 5 November, dengan Jamil Khir dijangka hadir pada tarikh berkenaan.

Terdahulu, Jamil Khir mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan dakwaan menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM860,308,770.51 antara 2015 hingga 2017.

Mahkamah kemudian membenarkan Jamil Khir diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin, selain beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 November. -MalaysiaGazette

Jamil Khir mengaku tidak bersalah lupus RM860.3 juta wang Tabung Haji

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here