KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kembali dari Nepal hari ini, akan memberikan taklimat kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.
Kementerian yang turut dikenali Wisma Putra itu berkata, sepanjang penugasannya, SMART telah melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan oleh pihak berkuasa Nepal, termasuk pencarian di darat dan tinjauan udara menggunakan dron.
Menurutnya, kementerian itu bersama agensi Malaysia yang berkaitan akan meneliti maklumat yang diperoleh SMART serta perkembangan semasa yang terus diterima dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.
Bagaimanapun, tambahnya, dengan berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia yang terlibat telah tamat serta tidak mengubah status semasa mereka.
“Kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, berdasarkan maklumat terkini yang diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana tersebut.
Ujarnya, bagi menyokong usaha tindak balas bencana yang masih dilaksanakan oleh pihak Nepal, SMART telah memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal.
Selain itu, katanya, sembilan buah dron turut diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana.
Menurutnya, tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
“Kedutaan Besar akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan, membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan, dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.
“Usaha Malaysia turut diteruskan berhubung perkembangan di China.
“Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China yang berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana tersebut serta sebarang maklumat yang dapat membantu dalam menentukan status mereka,” katanya.
Terdahulu, Wisma Putra menjelaskan, rekod semasa kementerian itu kekal seramai 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi, manakala usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status setiap individu terus dilaksanakan.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, kementerian itu memahami bahawa berakhirnya penugasan SMART mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai insan tersayang.
Sehubungan itu, ujarnya, kementerian itu kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terlibat dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang telah disahkan.
“Sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan
dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum,” katanya.
Terdahulu, Pasukan SMART MAS01 yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Nepal tiba di negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu pada 5 September lalu.
Pasukan terdiri daripada 11 anggota dan pegawai berlepas ke Nepal dengan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara TUDM Subang dengan membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) seberat 12.4 tan. – MalaysiaGazette
















