KUALA LUMPUR – Akademi Profesor Malaysia (APM) berpandangan pencapaian Malaysia dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 menunjukkan potensi penaakulan murid negara sememangnya wujud, namun masih belum diterjemahkan secara konsisten kepada penguasaan matematik dan sains.
APM berkata, keputusan PISA 2025 yang diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 8 September lalu tidak wajar ditafsir secara simplistik sama ada sistem pendidikan negara telah gagal sepenuhnya atau asas pendidikan sudah kukuh.
Sebaliknya, menurut APM, keputusan itu perlu dilihat sebagai gambaran yang lebih menyeluruh mengenai kekuatan dan kelemahan sistem pendidikan negara.
“Pencapaian matematik merupakan isyarat paling membimbangkan dalam PISA 2025 apabila skor Malaysia menurun 11 mata kepada 397 berbanding 409 pada 2022.
“Prestasi sains dan bacaan pula tidak menunjukkan perubahan signifikan,” menurut kenyataan Majlis Akademi Profesor Malaysia.
Bagaimanapun, APM berkata, Malaysia mencatat 484 mata dalam penyelesaian masalah berkomputasi, manakala 82.6 peratus murid memperoleh skor lebih tinggi daripada yang dijangka berdasarkan prestasi Sains mereka.
Katanya, dapatan itu menunjukkan murid Malaysia mempunyai kekuatan dari segi penaakulan dan penyelesaian masalah yang wajar dimanfaatkan dalam proses pembelajaran.
Menurut APM, dapatan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023 turut mengukuhkan keperluan untuk memberi perhatian lebih serius terhadap asas pembelajaran.
“Skor Matematik Malaysia menurun kepada 411, dengan 48 peratus murid berada di bawah aras penandaarasan antarabangsa terendah dan hanya sekitar satu peratus mencapai aras lanjutan.
“Guru turut melaporkan kelemahan pengetahuan atau kemahiran asas matematik dalam kalangan murid,” katanya.
APM berkata, apabila dapatan PISA dan TIMSS dibaca secara bersama, cabaran pendidikan negara bukan sekadar berkaitan keupayaan murid menaakul pada aras tinggi, tetapi turut membabitkan penguasaan ilmu asas yang menjadi prasyarat kepada aplikasi, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kreativiti dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dalam pada itu, APM mengiktiraf kemajuan yang dicapai menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, termasuk peningkatan akses pendidikan dan pengecilan sebahagian jurang pencapaian.
Bagaimanapun, katanya, jurang yang semakin kecil tidak semestinya bermakna tahap pencapaian semua kumpulan sudah tinggi.
“PISA 2025 masih menunjukkan jurang sains sebanyak 82 mata antara murid daripada kumpulan sosioekonomi tertinggi dan terendah,” katanya.
Sehubungan itu, APM mencadangkan empat keutamaan bagi memperkukuh sistem pendidikan negara.
Pertama, penguasaan asas matematik dan sains perlu diperkukuh, termasuk dari aspek kedalaman dan jujukan kurikulum dari sekolah rendah hingga menengah rendah.
Kedua, data PISA dan TIMSS perlu digunakan secara diagnostik bagi mengenal pasti miskonsepsi, pola kesilapan dan kelemahan pembelajaran, bukan sekadar dijadikan bahan latih tubi.
Ketiga, profesionalisme serta sokongan kepada guru perlu diperkukuh, khususnya dalam pedagogi kandungan, pengesanan miskonsepsi, pembinaan soalan yang mencetuskan penaakulan dan penggunaan hasil kerja murid sebagai bukti pembelajaran.
Keempat, kesinambungan dasar dan penilaian berasaskan bukti perlu dijamin dengan kejayaan diukur berdasarkan peningkatan penguasaan konsep, penaakulan, keyakinan murid serta pengurangan jurang, bukannya jumlah program atau latihan semata-mata.
APM berkata, matlamat pendidikan negara tidak seharusnya sekadar meningkatkan skor PISA atau TIMSS.
Matlamatnya ialah memastikan setiap murid, tanpa mengira latar belakang, menguasai ilmu, mampu menaakul secara saintifik dan menggunakan pengetahuan dalam kehidupan sebenar.
Tegasnya, pengukuhan matematik dan sains ialah isu keupayaan negara, justeru APM sedia menyumbang kepakaran dan sintesis bukti secara profesional bagi menyokong usaha memperkukuh pendidikan negara tanpa mengambil alih mandat Kementerian Pendidikan Malaysia. – MalaysiaGazette
















