KUALA LUMPUR – AirAsia Group selesai menjalankan saringan dadah terhadap semua kru operasi aktif, dengan 100 peratus keputusan ujian disahkan negatif.
Menurutnya, saringan berkenaan membabitkan semua kru operasi aktif kedua-dua syarikat penerbangan itu, termasuk juruterbang dan kru kabin.
Syarikat penerbangan tersebut berkata, pelaksanaan saringan tersebut mengukuhkan komitmen berterusan kumpulan berkenaan terhadap aspek keselamatan, sekuriti serta tahap kecergasan kru bagi menjalankan tugas.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia, Kapten Suresh Bangah berkata, keselamatan dan sekuriti merupakan asas kepada setiap operasi AirAsia dan pihaknya tidak berkompromi terhadap penggunaan dadah.
“Semua juruterbang dan kru kabin tertakluk kepada keperluan ketat kelayakan untuk terbang, termasuk ujian dadah dan alkohol secara berkala sebagai sebahagian daripada rangka kerja keselamatan kumpulan yang telah ditetapkan.
“Ini memastikan kru operasi kami berada dalam keadaan sesuai untuk melaksanakan tugas dengan selamat dan profesional,” katanya.
Beliau berkata AirAsia akan terus mengekalkan piawaian ketat berkenaan dalam semua operasinya selaras dengan keperluan peraturan yang ditetapkan serta amalan terbaik industri. – MalaysiaGazette
















