KUALA LUMPUR – Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) mengemukakan beberapa tuntutan fiskal strategik kepada kerajaan bagi memastikan sektor peruncitan negara kekal mampan, berdaya saing dan berdaya tahan menerusi Belanjawan 2027.

Menurut persatuan itu, sektor perniagaan kini berdepan persekitaran semakin kompleks susulan peningkatan kos operasi dan persaingan luar.

Oleh itu, katanya, ketekalan dasar, kejelasan kawal selia dan rangka kerja ekonomi yang adil amat diperlukan bagi membantu meningkatkan produktiviti serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Antara tuntutan utama yang dikemukakan ialah memastikan pematuhan yang adil antara peruncit tempatan dan platform e-dagang merentas sempadan.

MRCA berkata, peruncit fizikal tempatan kini berdepan ketidaksamaan pematuhan berbanding platform e-dagang asing yang dikenakan cukai lebih rendah atau tidak dikenakan cukai, selain menawarkan barangan pada harga jauh lebih murah.

Sehubungan itu, MRCA menggesa kerajaan mengetatkan penguatkuasaan Cukai Jualan ke atas Barang Bernilai Rendah (LVG) serta menyamaratakan surcaj terhadap transaksi e-dagang merentas sempadan.

MRCA turut menggesa kawalan lebih ketat terhadap penjualan barangan tiruan dan bermutu rendah di platform e-dagang bagi melindungi pengguna serta hak harta intelek pemilik jenama yang sah.

Ia juga mahu kerajaan mengoptimumkan sistem percukaian bagi mengurangkan beban operasi peruncit dan pada masa sama menggalakkan pelaburan dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Antara cadangannya ialah pengecualian cukai perkhidmatan enam peratus terhadap bekalan utiliti bagi penyewa yang membuat bayaran melalui pengurusan pusat beli-belah.

MRCA berkata, cukai berkenaan yang berkuat kuasa 1 Julai lalu terhadap pembayaran balik kos utiliti sebenar telah mewujudkan kesan cukai berganda yang tidak adil serta meningkatkan kos operasi.

MRCA turut mencadangkan rebat cukai bersasar atau potongan cukai berganda kepada peruncit yang melabur dalam naik taraf operasi ESG, khususnya berkaitan pengurusan fasiliti, keselamatan awam, sistem keselamatan kebakaran dan infrastruktur moden.

Dalam masa sama, persatuan itu mahu cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan pembinaan dan pengubahsuaian diturunkan kepada tiga peratus, mengambil kira bahan binaan yang telah dikenakan cukai.

MRCA turut menggesa kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara berperingkat dan berfasa, bermula dengan kadar rendah sebelum diselaraskan secara progresif dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, pendekatan itu akan memberi masa mencukupi kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri selain mengurangkan kesan terhadap sentimen isi rumah dan kestabilan ekonomi.

Bagi merangsang ekonomi peruncitan domestik pula, MRCA menyokong penghapusan cukai jualan terhadap barangan keluaran tempatan bagi membolehkan peruncit menawarkan harga lebih kompetitif berbanding barangan import.

MRCA turut menggesa kerajaan melanjutkan pelepasan cukai pelancongan domestik sebanyak RM1,000 sehingga 2027 serta memperluaskan skopnya kepada perbelanjaan penginapan hotel dan pembelian runcit.

Persatuan itu berkata, peluasan berkenaan dapat memaksimumkan kesan pengganda ekonomi daripada aktiviti pelancongan domestik.

“MRCA percaya rangka kerja dasar yang stabil dan mesra perniagaan akan mengurangkan kos pematuhan serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“MRCA kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dengan menyediakan pandangan industri yang berwibawa bagi membentuk Belanjawan 2027 yang mampu menyokong sektor peruncitan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global dan mampan,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here