JOHOR BAHRU – Ancaman bom yang dihantar menerusi e-mel kepada pihak pengurusan pusat beli-belah Mid Valley Southkey di sini, lewat malam tadi, disahkan palsu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung ancaman berkenaan pada pukul 11.31 malam tadi.
“Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah digerak ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan.
“Pemeriksaan keselamatan komprehensif telah dijalankan di sekitar kawasan dalam dan luar bangunan pusat beli-belah berkenaan dengan kerjasama pasukan keselamatan premis tersebut.
“Dalam pemeriksaan yang dijalankan itu, beberapa objek mencurigakan telah ditemukan dan seterusnya diperiksa dengan teliti oleh pasukan UPB yang bertugas di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa objek-objek mencurigakan yang dijumpai itu tidak mengandungi sebarang bahan letupan, malah tiada sebarang ancaman bom dikesan di premis berkenaan.
Sehubungan itu katanya, keseluruhan premis berkenaan sudah diperiksa sepenuhnya dan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang ancaman bom seperti didakwa menerusi e-mel berkenaan.
Tambah beliau, pihaknya mengambil serius setiap ancaman berkaitan bahan letupan dan akan sentiasa memastikan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan orang awam serta persekitaran.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sah,” katanya. – MalaysiaGazette
















