Vasudevan didakwa atas lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pemotong ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan samun dan rompakan antara April hingga Ogos lalu.

Tertuduh, M. Vasudevan, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam tiga prosiding di hadapan Hakim Juraidah Abbas dan dua Majistret, Noor Idayu Salim serta Nadratun Naim Mohd Saidi.

Bagi pertuduhan pertama, Vasudevan didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita dengan mengambil telefon bimbit, wang tunai dan kad pengenalan serta menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di Jalan Changkat Minden Lorong 4, Jelutong, pada jam 4.45 pagi, 14 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), M. Darrshini Saari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Juraidah Abbas kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula serta serahan dokumen pada 21 Oktober depan.

Bagi pertuduhan kedua, Vasudevan didakwa melakukan rompakan sebuah telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 30 tahun di hadapan Kelab Sukan Pulau Pinang, George Town, jam 12 tengah malam, pada 14 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan TPR, Siti Marissa Safina Saiful Adli, manakala tertuduh diwakili peguam, R. Puran.

Majistret Noor Idayu Salim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan dia melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 14 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, Vasudevan didakwa melakukan samun dan rompakan terhadap tiga individu berbeza di sekitar Ayer Itam, Batu Feringgi dan George Town di sini antara 13 April hingga 5 Ogos lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan dalam prosiding sama di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi dan pendakwaan dikendalikan TPR, Ahmad Danial Amir.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin serta mengarahkan dia melapor diri di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula ketiga-tiga kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, Vasudevan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here