KUALA LUMPUR – Kenaikan harga barangan basah seperti ikan, ayam, udang dan sotong menyebabkan pengguna terpaksa mengehadkan perbelanjaan termasuk mengurangkan aktiviti makan di luar.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Sungai Besi di sini mendapati pengguna turut merasakan peningkatan harga berlaku dalam tempoh singkat manakala peniaga pula berdepan tekanan kos apabila harga daripada pembekal berubah mengikut keadaan semasa.
Bagi pembeli dari Kajang, Suryana, 50, harga ikan, ayam dan sayur-sayuran kini menunjukkan peningkatan ketara berbanding beberapa minggu lalu.

“Kalau ikutkan harga barang basah sekarang memang ada peningkatan. Dalam masa dua hingga tiga minggu pun kita boleh nampak peningkatan harga itu, memang drastik.
“Ikan, ayam dan sayur-sayuran, semua ada peningkatan harga,” katanya.
Suryana kini memperuntuk kira-kira RM100 seminggu untuk membeli barangan basah bagi keperluan lima orang dalam keluarganya.
Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau lebih memilih untuk memasak di rumah bagi menjimatkan perbelanjaan manakala makan di luar hanya dilakukan sekali-sekala bersama keluarga.
Sementara itu, peniaga ikan di Pasar Sungai Besi, Siti Nor Abdul Rahim, 48, berkata, harga ikan berubah mengikut harga semasa, musim dan keadaan cuaca.

“Kadang-kadang hari ini RM2, esok RM4. Kadang-kadang sampai RM4 pun ada kenaikan. Ia ikut harga semasa dan musim, kadang-kadang harga bergantung kepada cuaca,” katanya.
Menurutnya, kenaikan harga daripada pembekal turut menyebabkan peniaga berdepan kesukaran untuk mengekalkan harga jualan namun mereka seboleh-bolehnya mahu memastikan harga tidak membebankan pelanggan.
“Kalau boleh kita nak jual murah untuk pelanggan. Kita tak nak jual mahal tetapi pembekal yang naikkan harga,” katanya ketika ditemu bual semasa tinjauan di Pasar Sungai Besi hari ini.
Bagi pembeli dari Seri Kembangan, Mat Sabri Ismail, 66, kenaikan harga barangan basah kini semakin dirasai sehingga beliau terpaksa mengehadkan pembelian ikan, udang dan sotong.

“Sekarang memang mahal sangat. Barang basah macam ikan, udang dan sotong memang mahal. Kalau dah teringin sangat nak makan, sekali-sekala sajalah sebab nak makan selalu pun dah susah,” katanya.
Kos sara hidup yang meningkat turut menyebabkan beliau lebih banyak memasak sendiri dan mengurangkan pembelian makanan di luar.
Dalam pada itu, peniaga ayam, Muhammad Sani bin Saad, 54, berkata, walaupun kos daripada pembekal meningkat, beliau masih mengekalkan harga jualan bagi mengelak pengguna terbeban.

“Memang pembekal yang naikkan harga. Kita masih mengekalkan harga walaupun keuntungan memang terjejas.
“Keuntungan tipis, sikit, tetapi kita masih kekalkan harga sebab pengguna. Kita tak boleh lawan harga pasar raya yang jual lebih murah,” katanya. – MalaysiaGazette
















