KLANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh pemancing yang dilaporkan hilang memasuki episod menyayat hati apabila salah seorang mangsa ditemukan maut terapung di perairan Hutan Melintang, Perak, pagi ini.
Mayat lelaki berkenaan ditemukan nelayan kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum dibawa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke Jeti Hutan Melintang untuk tindakan lanjut.
Hasil pengecaman oleh waris mengesahkan mangsa ialah Mohd Sharil Abd Rahman, 43, yang merupakan salah seorang dari tiga mangsa yang masih hilang.
Mayat mangsa kemudian akan dibawa ke Hospital Shah Alam bagi tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Ramsay Embol berkata, operasi SAR kini diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih belum ditemukan.
Katanya, operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu kenyataan,hari ini.
Katanya, penemuan Sharil menjadikan pencarian terhadap tujuh pemancing itu kini tertumpu kepada dua lagi mangsa yang masih belum ditemukan.
“Pasukan SAR terus digerakkan bagi menjejaki kedua-dua mangsa, manakala segala perkembangan berkaitan operasi akan dimaklumkan pihak polis dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















