HULU LANGAT – Tiga generasi berusia antara tiga hingga 77 tahun bersatu dalam semangat patriotik apabila kira-kira 100 warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Wawasan A menyertai Karnival Hari Malaysia, di sini, hari ini.
Program itu bukan sekadar sambutan, sebaliknya menjadi medan memperkukuh perpaduan komuniti apabila kanak-kanak, golongan dewasa dan warga emas yang bersama-sama menyertai pelbagai aktiviti kenegaraan.
Pengerusi KRT Taman Wawasan A, Abdul Pabil Adam berkata, penglibatan pelbagai peringkat umur membuktikan semangat cintakan negara mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira usia.
Menurutnya, karnival berkenaan turut bertujuan memupuk kerjasama dan mengeratkan hubungan komuniti setempat.
“Antara pengisian program ialah Fun Walk, pertandingan mewarna, kuiz kenegaraan, cabutan bertuah, pertandingan Rumah Patriotik dan bersarapan santai.
“Turut diadakan kuiz berkaitan kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, selain program senaman pagi sebelum acara utama,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Abdul Padil juga berkata, sebanyak 50 hadiah disediakan untuk peserta, manakala pertandingan Rumah Patriotik menawarkan RM250 bagi tempat pertama, RM200 tempat kedua dan RM150 tempat ketiga.
“Karnival itu diadakan sebagai penutup sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di peringkat komuniti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















