Wisma Negeri dan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sembilan, Seremban. Foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2023. (Gambar hiasan)

KUALA LUMPUR – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dalam proses penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar.

Sebaliknya, kata peguam Faizal Rahman, perkara itu tertakluk kepada Undang Yang Empat dan Menteri Besar seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau berkata, sebarang kenyataan Exco berhubung perkara yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar juga perlu mendapat pengesahan Menteri Besar selaku pengerusi MMKN.

“Exco boleh mengeluarkan kenyataan, tetapi ia perlu ditandatangani atau disahkan oleh Menteri Besar. Kalau Menteri Besar tidak menandatangani atau mengesahkannya, kenyataan itu menjadi tidak sah.

“Menteri Besar ialah Pengerusi Exco dan dalam perkara ini kedudukan beliau berbeza daripada Exco yang lain,” katanya malam ini.

Peguam Faizal Rahman.

Faizal berkata, persoalan lebih besar kini ialah sama ada MMKN mempunyai sebarang peranan dalam menentukan penurunan takhta Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, proses berkenaan tidak boleh disamakan dengan keputusan pentadbiran biasa kerajaan negeri.

“Yamtuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh diturunkan takhta hanya melalui kenyataan kerajaan negeri.

“Proklamasi perlu diperoleh melalui proses yang melibatkan Undang Yang Empat dan Menteri Besar. Dalam keadaan ini, timbul pula isu apabila Menteri Besar sendiri membuat laporan polis dengan mendakwa beliau dipaksa menandatangani proklamasi,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan menimbulkan persoalan yang perlu dijawab kerana tandatangan Menteri Besar kini menjadi antara asas yang digunakan kerajaan negeri dalam mengesahkan proklamasi tersebut.

“Kalau Menteri Besar mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen, perkara itu perlu disiasat. Ia bukan sekadar isu politik kerana ia menyentuh bagaimana satu dokumen yang mempunyai kesan perlembagaan diperoleh.

“Siapa yang meminta tandatangan itu? Dalam keadaan bagaimana ia ditandatangani? Adakah benar wujud paksaan atau tekanan? Semua persoalan itu perlu ditentukan berdasarkan siasatan dan bukti,” ujarnya.

Faizal berkata, beliau melihat dakwaan tersebut sebagai perkara serius dan wajar disiasat pihak berkuasa bagi memastikan sama ada wujud campur tangan atau tindakan pihak tertentu dalam proses berkenaan.

“Saya percaya ada persoalan mengenai kemungkinan wujudnya komplot di belakang tabir berdasarkan dakwaan Menteri Besar sendiri bahawa beliau dipaksa menandatangani proklamasi.

“Namun, perkara itu perlu dibuktikan melalui siasatan. Jangan kita membuat kesimpulan sebelum fakta diperoleh,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan penglibatan Exco dalam pengumuman berkaitan penurunan takhta itu.

“Exco tidak mempunyai peranan langsung dalam penurunan takhta Yamtuan Besar.

“Yang dinyatakan dalam peruntukan berkaitan ialah Menteri Besar dan empat Undang. Jadi kita perlu bezakan antara fungsi kerajaan negeri dalam pentadbiran dengan kuasa perlembagaan yang diberikan kepada institusi tertentu,” katanya.

Faizal turut menegaskan bahawa Perkara 10(1) perlu dilihat bersama Perkara 10(2), khususnya mengenai proses yang perlu berlaku sebelum sesuatu proklamasi dibuat.

Menurutnya, persoalan utama bukan sekadar sama ada dokumen itu mempunyai tandatangan, tetapi sama ada semua proses dan syarat yang ditetapkan Perlembagaan Negeri Sembilan telah dipenuhi.

“Perkara 10(1) menyentuh mengenai siasatan penuh dan lengkap. Jadi perlu dilihat sama ada proses itu benar-benar telah berlaku sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Tidak memadai hanya melihat kepada kewujudan tandatangan. Kita perlu melihat keseluruhan proses yang membawa kepada tandatangan dan proklamasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, jika proses yang ditetapkan tidak dipatuhi, kesannya boleh menjadi serius terhadap kesahan tindakan susulan.

“Pada pandangan saya, jika prosedur yang diwajibkan tidak dipatuhi, penurunan takhta itu boleh dipersoalkan dari awal.

“Begitu juga pengumuman yang dibuat tanpa pengesahan atau tandatangan Menteri Besar, jika tandatangan tersebut memang menjadi keperluan di bawah peruntukan yang berkaitan, boleh dianggap cacat dan tidak mempunyai kesan seperti yang didakwa,” katanya.

Faizal bagaimanapun menegaskan bahawa penentuan muktamad mengenai perkara itu perlu dibuat melalui proses kehakiman sekiranya terdapat pertikaian.

“Kalau ada pertikaian mengenai kesahan proklamasi, jangan kita selesaikan melalui kenyataan media.

“Bawa perkara itu ke mahkamah. Mahkamah boleh meneliti dokumen, proses, bidang kuasa dan sama ada semua kehendak Perlembagaan Negeri Sembilan telah dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memberikan kepastian undang-undang terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar serta mengelakkan pertikaian terus berlarutan.

“Sekarang terdapat pendirian yang berbeza mengenai status proklamasi dan proses yang berlaku. Dalam keadaan sebegini, mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk menentukan sama ada prosedur telah dipatuhi atau tidak.

“Jika proses itu sah, biarlah mahkamah mengesahkannya. Jika terdapat kecacatan, mahkamah juga boleh menentukan kesan undang-undangnya,” ujarnya.

Faizal turut mempersoalkan tindakan mengumumkan pengiktirafan Yang di-Pertuan Besar baharu ketika masih terdapat persoalan mengenai proses yang membawa kepada penamatan kedudukan Yamtuan terdahulu.

“Pengumuman mengenai Yamtuan baharu tidak semestinya dengan sendiri menyelesaikan persoalan undang-undang mengenai proses sebelumnya.

“Persoalan asas masih sama iaitu adakah Perkara 10 dipatuhi sepenuhnya, apakah peranan Undang Yang Empat, apakah peranan Menteri Besar dan apakah asas kepada penglibatan Exco?” katanya.

Beliau berkata, institusi Raja perlu dihormati dan isu berkenaan tidak wajar dijadikan pertikaian politik antara parti.

“Ini bukan soal menyebelahi mana-mana pihak. Ia soal perlembagaan negeri.

“Jika kita mahu memastikan institusi Raja terus dihormati, maka proses perlembagaan yang mengawal kedudukan institusi itu juga mesti dipatuhi,” katanya.

Faizal turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi perhatian kepada laporan polis yang dibuat Menteri Besar berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani proklamasi.

“Saya persoalkan mengapa siasatan terhadap laporan Menteri Besar yang mendakwa beliau dipaksa menandatangani proklamasi masih belum memberikan penjelasan yang jelas.

“PDRM perlu menyiasat perkara itu kerana jika benar berlaku paksaan terhadap seorang Menteri Besar untuk menandatangani dokumen berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, ia bukan perkara kecil,” katanya.

Menurutnya, siasatan perlu menentukan apa sebenarnya yang berlaku ketika tandatangan itu diperoleh serta mengenal pasti pihak yang terlibat berdasarkan bukti.

“Jangan biarkan perkara ini menjadi persoalan yang tidak terjawab. Siasatan perlu menentukan apa sebenarnya yang berlaku ketika tandatangan itu diperoleh dan siapa yang terlibat,” katanya.

Faizal berkata, jalan paling jelas untuk menamatkan pertikaian ialah membawa isu tersebut ke mahkamah supaya semua persoalan perlembagaan dapat diputuskan berdasarkan undang-undang.

“Pada akhirnya, satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut ini secara muktamad ialah mendapatkan semakan mahkamah sama ada prosedur yang ditetapkan telah dipatuhi atau tidak.

“Ini penting bukan sahaja untuk pihak yang terlibat, tetapi juga untuk memastikan terdapat kepastian undang-undang terhadap kedudukan institusi Raja di Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here