KUALA LUMPUR – Sebarang proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak wajar dibuat atau diisytiharkan selagi dakwaan wujud unsur paksaan terhadap tandatangan Menteri Besar belum diselesaikan melalui siasatan, kata peguam Datuk Geethan Ram Vincent.
Menurutnya, berdasarkan kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak boleh ditamatkan secara sebelah pihak hanya melalui kenyataan politik atau pengumuman kerajaan negeri.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau berkata proses berkenaan tertakluk kepada kerangka perlembagaan negeri serta kuasa prerogatif institusi adat yang mempunyai prosedur khusus.
“Berdasarkan kerangka UUTKNS 1959, kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak boleh dilucutkan atau ditamatkan secara sebelah pihak melalui sebarang kenyataan politik oleh pihak kerajaan.
“Urusan ini berada sepenuhnya di bawah kuasa prerogatif institusi adat yang sangat ketat dan memerlukan pematuhan rasmi perlembagaan negeri,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Geethan berkata, peranan Menteri Besar amat penting dalam proses tersebut, khususnya berkaitan penyempurnaan proklamasi seperti diperuntukkan dalam Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
“Sebarang proklamasi yang dikeluarkan oleh Undang Yang Empat memerlukan pelibatan dan tandatangan Menteri Besar bagi menyempurnakan dokumen tersebut dari sudut pentadbiran undang-undang bertulis,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan Menteri Besar tandatangan terhadap dokumen berkenaan dibuat dalam keadaan wujud unsur paksaan kini menjadi persoalan penting yang perlu dijawab sebelum sebarang pengiktirafan atau pengumuman dibuat.
“Memandangkan Menteri Besar telah menyatakan secara nyata bahawa beliau tidak menandatangani dokumen tersebut secara sukarela akibat wujudnya unsur paksaan, satu laporan polis telah dibuat dan perkara ini kini berada dalam siasatan pihak berkuasa.
“Justeru, sebarang proklamasi adalah tidak wajar dibuat atau diisytiharkan sehinggalah siasatan tersebut dilengkapkan sepenuhnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Geethan menjelaskan bahawa fungsi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco dalam isu berkenaan perlu dibezakan daripada kuasa institusi yang terlibat secara langsung dalam proses perlembagaan.
Menurutnya, Exco berperanan dari sudut pentadbiran untuk mengumumkan serta mengiktiraf sesuatu ketetapan rasmi yang telah disempurnakan mengikut kehendak undang-undang negeri.
“Peranan utama Exco adalah bertindak sebagai badan eksekutif yang mengambil langkah pentadbiran untuk mengumumkan serta mengiktiraf ketetapan rasmi yang telah disempurnakan oleh Undang Yang Empat.
“Pengumuman kolektif oleh Exco hanya boleh dibuat selepas mereka berpuas hati bahawa Surat Cara Proklamasi tersebut telah ditandatangani secara sah oleh Menteri Besar mengikut kehendak perlembagaan negeri,” katanya.
Geethan berkata, dalam keadaan terdapat pertikaian terhadap kesahihan tandatangan Menteri Besar, Exco perlu mengambil kira persoalan tersebut sebelum membuat sebarang pengumuman berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
“Jika terdapat persoalan mengenai sama ada tandatangan itu diberikan secara sukarela atau sebaliknya, perkara itu perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kesempurnaan Surat Cara Proklamasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata, isu itu bukan sekadar berkaitan pengumuman kerajaan negeri, sebaliknya menyentuh persoalan pematuhan terhadap peruntukan perlembagaan negeri.
“Ini bukan soal kenyataan politik semata-mata. Ia berkaitan proses perlembagaan dan kesan undang-undang terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
“Sebab itu setiap langkah perlu dibuat berdasarkan peruntukan yang jelas dan proses yang sah,” katanya.
Menurutnya, kewujudan laporan polis oleh Menteri Besar mengenai dakwaan paksaan terhadap tandatangan berkenaan juga menjadikan siasatan pihak berkuasa penting sebelum kesahihan dokumen tersebut boleh dipastikan.
“Selagi persoalan itu belum dijawab, adalah lebih wajar semua pihak menunggu hasil siasatan dan tidak membuat kesimpulan terlebih dahulu mengenai kesahihan proklamasi,” jelasnya.
Geethan berkata, sekiranya masih terdapat pertikaian selepas proses siasatan, pihak berkepentingan boleh mendapatkan penentuan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
“Yang penting ialah memastikan setiap proses yang membawa kepada perubahan kedudukan Yang di-Pertuan Besar benar-benar mematuhi UUTKNS 1959.
“Institusi Raja dan perlembagaan negeri tidak seharusnya ditentukan hanya berdasarkan kenyataan politik, tetapi mesti berasaskan proses yang sah,” katanya. – MalaysiaGazette
















