Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang menerima amaran menerusi Platform Amaran Awal Nasional Arab Saudi dinasihatkan supaya kekal tenang, berwaspada dan mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa negara itu.

Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebaik menerima amaran kecemasan.

“…termasuk berada di dalam bangunan jika keadaan mengizinkan, menjauhi tingkap dan kawasan terbuka, segera mencari tempat perlindungan sekiranya berada di luar, mengelakkan kawasan sesak atau yang berpotensi tidak selamat serta terus mengikuti pengumuman rasmi,” menurut Konsulat Jeneral dalam nasihat keselamatan yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Sekiranya berlaku kecemasan, mereka boleh menghubungi talian 911 bagi wilayah Makkah dan Madinah atau 998 bagi kawasan lain di Arab Saudi.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan boleh menghubungi Konsulat Jeneral di talian +966 57 309 9589.

“Komuniti Malaysia dinasihatkan supaya tidak panik atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan. Sila bergantung hanya kepada maklumat dan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa rasmi berkaitan,” menurut nasihat itu.

Arab Saudi pada Selasa mengeluarkan amaran kecemasan mengenai “potensi bahaya” di Jeddah, Makkah dan Taif menerusi Platform Amaran Awal Nasional bagi Kecemasan susulan ketegangan yang meningkat dengan kumpulan Houthi.

Sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan kumpulan Houthi berhampiran Makkah pada Selasa, menurut laporan media antarabangsa. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here