Undang Luak Rembau

KUALA LUMPUR –  Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Sembilan tidak boleh menggantikan atau menyempurnakan proses yang diwajibkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), tegas Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.

Dalam kenyataan rasmi malam ini, beliau berkata, perkara berkaitan Proklamasi 19 April 2026 yang dikatakan menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah ditangani dengan penuh tertib serta berlandaskan UUTKNS.

“Persoalan pokok bukan semata-mata sama ada Undang Yang Empat mempunyai kuasa berkaitan pemilihan atau penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar.

“Persoalan yang lebih asas ialah sama ada kuasa tersebut telah dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya segala syarat dan proses yang ditetapkan oleh UUTKNS.

“Kewujudan sesuatu kuasa tidak bermakna tatacara pelaksanaannya boleh diketepikan,” tegasnya.

Hassan berkata, Perkara 10 UUTKNS menetapkan proses yang perlu dipatuhi sebelum kuasa berkaitan penurunan takhta boleh dilaksanakan.

Antara persoalan asas, katanya, ialah sama ada siasatan penuh dan lengkap seperti yang dikehendaki telah dilaksanakan sebelum Proklamasi 19 April 2026 dibuat.

Menurutnya, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah mengambil pendirian bahawa siasatan sedemikian tidak pernah dilaksanakan, selain Tuanku Muhriz tidak diberikan notis atau peluang untuk didengar.

“Kegagalan memenuhi syarat asas tersebut menimbulkan kecacatan fundamental terhadap proklamasi berkenaan,” katanya.

Beliau turut merujuk Perkara 16(3) UUTKNS yang menurutnya menetapkan nasihat DKU mengenai persoalan adat Melayu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Hassan berkata, DKU pada 31 Julai dan 13 September 2026 telah memutuskan proklamasi 19 April 2026 tidak sah, termasuk atas alasan tiga daripada empat penandatangan tidak memegang jawatan Undang yang sah menurut adat Luak masing-masing.

DKU juga, katanya, menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Justeru, keputusan MMK atau Exco tidak boleh mengetepikan ketetapan DKU mengenai adat atau mengatasi peruntukan UUTKNS,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan berkata, keabsahan proklamasi turut bergantung kepada kedudukan pihak yang menandatanganinya.

Menurutnya, pendirian DKU tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi berkenaan tidak lagi memegang jawatan Undang menurut adat Luak masing-masing pada tarikh material turut menimbulkan persoalan terhadap kesahan dokumen tersebut.

“Keabsahan proklamasi turut bergantung kepada kedudukan mereka yang menandatanganinya,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan dalam kenyataan MMK bahawa proklamasi telah ditandatangani oleh “YTM Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa” bercanggah dengan ketetapan DKU mengenai kedudukan pihak berkenaan.

Kedudukan tandatangan Menteri Besar turut menjadi persoalan, katanya, apabila Menteri Besar sebelum ini menyatakan secara terbuka bahawa tandatangannya dibuat tanpa rela dan secara paksaan serta laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut.

“Oleh itu, isu berkenaan tidak boleh dianggap selesai semata-mata dengan menyatakan bahawa tandatangan Menteri Besar telah menjadikan proklamasi itu ‘sempurna’,” katanya.

Hassan berkata, MMK mempunyai fungsi dan bidang kuasa sendiri dalam pentadbiran kerajaan negeri, namun ia tidak boleh melalui keputusan kolektif atau kenyataan media menggantikan, mengetepikan atau menyempurnakan proses yang diwajibkan UUTKNS.

“Sekiranya syarat Perkara 10 tidak dipenuhi dari awal, suatu keputusan pentadbiran yang dibuat kemudian tidak dengan sendirinya memulihkan kecacatan tersebut,” katanya.

Beliau turut merujuk Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang menurutnya menjamin hak Raja sesuatu negeri untuk memegang, menikmati dan menjalankan hak serta keistimewaan perlembagaannya mengikut Perlembagaan Negeri tersebut.

Selain itu, Perkara 181 memelihara kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja Raja serta Pembesar Pembesar Pemerintah Negeri Sembilan tertakluk kepada Perlembagaan.

“Oleh itu, Perkara 71 dan Perkara 181 tidak boleh digunakan untuk mengetepikan syarat dan proses yang telah ditetapkan secara khusus oleh UUTKNS,” katanya.

Dalam pendirian rasmi itu, Hassan menegaskan bahawa sesuatu kenyataan atau keputusan MMK tidak boleh mengatasi UUTKNS dan tidak dengan sendirinya boleh menghidupkan atau mengesahkan proklamasi yang telah diputuskan DKU sebagai tidak sah.

Beliau berkata, DKU telah membuat ketetapan pada 31 Julai 2026 dan menegaskannya semula pada 13 September 2026 bahawa proklamasi 19 April 2026 tidak sah serta Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Sehubungan itu, semua pihak hendaklah menghormati UUTKNS, bidang kuasa DKU serta ketetapan yang telah dibuat menurut bidang kuasanya.

“Institusi Raja dan institusi Undang di Negeri Sembilan hendaklah dipelihara dengan penuh tertib dan hormat,” katanya.

Hassan turut menegaskan tiada individu, institusi pentadbiran atau mesyuarat Exco yang boleh meletakkan dirinya mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Semua pihak hendaklah menjaga keamanan Negeri Sembilan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran Negeri atau menjejaskan kemuliaan institusi beraja dan adat Negeri Sembilan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here