Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR– UMNO Bahagian Batu mempersoalkan kejujuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dalam menyatakan pandangan berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak di Lembaga Pengampunan.

Ketuanya, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, pendirian Hannah menimbulkan tanda tanya sama ada dibuat atas kapasiti peribadi atau mencerminkan pendirian politik DAP.

Beliau berkata, persoalan itu timbul susulan pendirian beberapa pemimpin DAP sebelum ini yang menolak pengampunan bekas Perdana Menteri itu.

“Bukankah sebelum ini terdapat beberapa kepimpinan DAP menolak sekeras-kerasnya pengampunan Datuk Seri Najib. Malah mereka mendesak untuk melepaskan jawatan di dalam Kabinet sekiranya Najib diberikan hukuman tahanan di rumah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hannah menegaskan, beliau sudah menyatakan pandangan secara jujur dan berterus terang berkaitan permohonan pengampunan Najib dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September lalu. 

Hannah berkata, pandangan itu diberikan selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara dan dalam kapasiti sebagai seorang daripada anggota Lembaga Pengampunan serta menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

Gulam juga mengaitkan pendirian itu dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di mana DAP dan pihak disifatkannya sebagai “ceplos-ceplos tajaan PH” membentuk persepsi kononnya kemenangan Barisan Nasional (BN) akan membawa kepada pembebasan Najib.

“Pada pandangan saya, kehadiran dan kenyataan Hannah bukan atas kapasiti peribadi atau Menteri Wilayah Persekutuan. Sebaliknya ia lebih kepada menjadi proksi, penyambung lidah dan suara DAP di dalam Lembaga Pengampunan,” katanya.

Menurut Gulam, Hannah berkemungkinan mendapat tekanan daripada kepimpinan utama DAP untuk mempertahankan pendirian parti berhubung pengampunan Najib.

“Pengampunan Datuk Seri Najib ibarat hidup atau mati buat DAP yang akan kehilangan banyak sokongan daripada penyokong-penyokong tegarnya sekiranya ia berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Gulam berkata, Hannah tidak wajar dipersalahkan sekiranya benar beliau hanya mengikut arahan kepimpinan parti.

“Mungkin dalam soal ini, tidak wajar kita menekan-nekan Hannah. Beliau mungkin diarahkan kepimpinan utama DAP agar kehendak dan kemahuan parti wajib dipertahankan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya tampil menjelaskan pendirian sebenar parti mengenai isu pengampunan Najib.

“Yang sepatut dan layak menjawab persoalan ini adalah Anthony Loke yang sehingga kini membiarkan Hannah Yeoh menjawab seorang diri tanpa sokongan rakan-rakan kepimpinan DAP yang lain,” katanya.

Gulam turut menyifatkan Hannah sebagai “mak sanggup” kerana beliau mungkin menanggung kesan daripada pendirian tersebut.

“Saya berasa simpati dengan Hannah walaupun beliau tahu ia akan menyusahkannya kelak,” katanya.

Dakwanya lagi, penempatan Hannah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan selepas rombakan Kabinet mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.

“Ini mungkin strategi DAP dengan meletakkan Hannah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Nampaknya langkah ini berjaya menghalang Datuk Seri Najib daripada mendapat pengampunan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here