KUALA LUMPUR – Sikap UMNO yang dilihat masih mahu mengekalkan kedudukan sebagai ‘abang long’ dalam percaturan politik Melayu-Islam bakal menguji tahap kesabaran Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Pahang, Kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, imej ‘abang long’ atau warlord sememangnya sudah sinonim dengan UMNO.
Menurutnya, dalam politik, peluang untuk menjadi dominan sering menjadi matlamat utama setiap parti yang merasakan mereka masih relevan sebagai aktor yang mampu menawan sebahagian besar kehendak majoriti.
Katanya, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), terutama Pas, dilihat lebih cenderung kepada ‘electoral pact’ atau pakatan pilihan raya sahaja.
“Memandangkan situasi di Johor dan Negeri Sembilan menjadi petunjuk utama kekuataan ini, tetapi dalam masa yang sama masih berdepan dengan ketidakpastian dalam memutkamadkan matlamat sebenar kerjasama atau sekadar mengulangi situasi yang sama sewaktu Muafakat Nasional dibentuk.
“Sudah dijangkakan isu utama dalam kerjasama ini adalah bagaimana untuk berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16 yang bakal tiba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Ariff berkata, perkara paling mencabar dalam kerjasama berkenaan adalah soal agihan kerusi yang perlu diselesaikan melalui rundingan politik antara kedua-dua pihak.

Katanya, sekiranya kejayaan kerjasama BN-PN ingin dicapai, political negotiation harus mencapai konsensus yang jelas, khususnya dalam menentukan agihan kerusi.
“Masalah utama dalam kerjasama ini adalah berkenaan dengan ‘tumpuan fokus pengundi yang sama’ iaitu di kawasan Melayu-Islam.
“Memang pemboleh ubah utama kejayaan kerjasama ini adalah salah satunya melihat kepada kesediaan PN-Pas untuk memberikan sedikit ruang kepada BN (kerusi) di negeri SG4,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya langkah berkenaan berjaya, ia sekali gus boleh menjadi petanda penting kepada tahap kesepakatan dan hala tuju kerjasama BN-PN.
Jelasnya, kerjasama yang dibentuk tidak seharusnya hanya berorientasikan misi untuk mengembalikan dominasi dan meraih kuasa semata-mata.
“Kita tidak mahu kerjasama yang dilakukan ini hanya misi dan matlamat untuk kembali menjadi dominan dan meraih kekuasaan kembali.
“Jika elok, kerjasama ini perlu membuktikan mereka bukan mengangkat soal politik identiti yang menjadi teras kepada matlamat mereka tetapi juga mampu memberikan sebuah jaminan dan tawaran yang lebih baik untuk kesejahteraan pengundi dan majoriti rakyat yang memilih mereka,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman berkata isu agihan kerusi yang menjadi cabaran besar kepada agenda kerjasama UMNO dengan parti itu, terutama dalam menghadapi siri pilihan raya boleh diselesaikan menerusi formula ‘muafakat’.
Malah beliau berkata formula itu sudah terbukti berjaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) ditewaskan.
Beliau berkata, BN perlu mengelak bertembung dengan PN di kerusi penyandang, manakala kerusi disandang PH dirunding untuk misi ditawan. – MalaysiaGazette
















