Tapak perkhemahan didirikan sejak tiga bulan lalu sebagai tanda soladiriti penduduk orang Asli di sini selepas menerima notis pengusiran pada Jun lalu

BERA – Kami nak balik mana (jika tinggalkan kawasan ini). Jadi kami berkhemah dan berkawal sejak tiga bulan lalu.”

Itu tindakan yang diambil kira-kira 40 keluarga Orang Asli Semelai dari Kampung Kuin dan Kampung Lengot di sini selepas menerima notis pengosongan bertarikh 25 Jun lalu.

Batin Tosi Ayin yang mewakili Batin Kampung Kuin dan Lengot berkata, penduduk kini berada dalam keadaan trauma dan bimbang mengenai masa depan keluarga mereka susulan notis berkenaan.

Sedangkan tanah itu telah dihuni beberapa generasi sejak lebih 100 tahun lalu.

Pintu gerbang utama masuk ke Kampung Orang Asli Kuin dan Lengut, di Bera

Jelas beliau, tindakan berkawal dan berkhemah secara bergilir-gilir itu dilakukan sebagai mempertahankan kampung mereka daripada diceroboh.

Menurut beliau, penduduk kampung bukan menolak rundingan, sebaliknya mahu pihak berkaitan memberikan penjelasan terlebih dahulu mengenai tujuan pemindahan, projek yang dikatakan bakal dilaksanakan serta lokasi penempatan baharu sekiranya mereka perlu berpindah.

Batin Tosi Ayin

“Kami ada 40 keluarga dan jumlah penduduk tidak lebih daripada 140 orang.

“Pada hari ini, kami memang agak trauma. Bila diberikan notis, mereka kata mahu mengalihkan kami ke tempat lain. Kami nak balik ke mana?” katanya kepada MalaysiaGazette.

Batin Tosi berkata, kawasan berkenaan bukan sekadar tempat tinggal, malah menjadi lokasi penduduk menjalani kehidupan harian dan mencari sumber pendapatan sejak beberapa generasi.

Katanya, sebarang keputusan berkaitan pemindahan tidak seharusnya dibuat tanpa penglibatan komuniti, terutama apabila ia membabitkan rumah, tanah, sumber pendapatan serta kelangsungan hidup mereka.

“Kalau nak buat apa-apa, bincanglah dengan kami. Beritahu apa yang akan berlaku dan kami akan pergi mana.

“Jangan hanya beri notis, kemudian kami pula tertanya-tanya apa nasib kami,hasil kebun kami semua di sini,” katanya.

Jalil Shamsuddin

Sementara itu, seorang penduduk, Jalil Shamsudin, 44, berkata sehingga kini penduduk masih menunggu penjelasan berhubung status kampung serta masa depan keluarga mereka.

“Kami sudah tiga bulan berkhemah di sini. Kami berkawal sebab takut kampung ini diceroboh.

“Kami mahu tahu apa akan jadi kepada kami. Kami hanya mahu penjelasan dan penyelesaian,” katanya.

Menurut Jalil, kehidupan penduduk turut terjejas sepanjang tempoh berkhemah apabila sebahagian daripada mereka tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.

Katanya, penduduk kini bergantung kepada sumber yang ada di kawasan berkenaan, termasuk menggunakan air perigi bagi keperluan harian.

Aktiviti mencari rezeki seperti menoreh getah dan mengusahakan tanaman kelapa sawit secara kecil-kecilan juga didakwa terganggu.

“Sebahagian daripada kami perlu bergilir-gilir menjaga kawasan ini. Jadi, ada yang tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.

“Kami juga bergotong-royong menyediakan makanan untuk penduduk yang berkhemah di sini,” katanya.

Jalil berkata, penduduk tidak menganggap mereka sebagai penceroboh kerana kawasan berkenaan telah menjadi tempat tinggal keluarga mereka sejak beberapa generasi.

Beliau mendakwa telah menetap di Kampung Lengot lebih 30 tahun, manakala penduduk lain mendakwa kawasan itu telah dihuni masyarakat Orang Asli sejak ratusan tahun lalu.

“Kami orang asal. Kami lahir dan membesar di sini. Anak-anak kami pun membesar di sini. Kalau kami keluar, kami hendak pergi mana?” katanya.

Keresahan penduduk semakin meningkat selepas mereka mendakwa pada 9 Jun lalu sekumpulan individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat agrikultur menerbangkan dron di sekitar kawasan kampung.

Pada 25 Jun pula, penduduk mendakwa menerima notis supaya mengosongkan kawasan berkenaan.

Sejak itu, penduduk terus berkhemah dan berkawal sementara menunggu penjelasan serta penyelesaian daripada pihak berkaitan.

Amir Huzairi Shamsudin

Bagi Amir Huzairi Shamsudin,27, khemah yang didirikan bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi simbol pendirian untuk mempertahankan penempatan yang dianggap sebagai tanah warisan keluarga dan sebahagian daripada kehidupan komuniti.

Penduduk kini berharap kerajaan dan agensi berkaitan tampil memberikan penjelasan secara rasmi mengenai status tanah, tujuan pemindahan serta perancangan terhadap masa depan penempatan tersebut.

Mereka turut berharap ruang rundingan dibuka secara rasmi bersama komuniti sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Bagi komuniti terbabit, isu berkenaan bukan sekadar soal berpindah rumah, tetapi turut menyentuh kelangsungan kehidupan, sumber pendapatan, hubungan kekeluargaan dan identiti masyarakat yang telah terbina di kawasan berkenaan selama beberapa generasi.

“Kami cuma mahu berbincang. Kami mahu tahu apa perancangan dan ke mana kami akan pergi. Jangan biarkan kami terus tertanya-tanya,” kata penduduk.

Pada semalam, tinjauan Malaysiagazette mendapati penduduk menantikan reaksi daripadan pihak Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di kampung Orang asli Kuin di Bera selepah pihak berkenaan dan pelbagai agensi membuat operasi penguatkuasaan namun tiada. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Tasik Bera diteroka: Penahanan 5 Orang Asli tarik perhatian

Lima Orang Asli ditahan halang penguat kuasa jalankan tugas di hutan simpan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here