GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempertimbangkan penutupan sementara sekolah di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Ketua Pergerakan Pemuda KIMMA, Rais Ahmad Mohamed Hussain berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan bagi mengurangkan pendedahan murid, guru dan warga sekolah kepada udara tercemar.
Katanya, keadaan kualiti udara yang semakin membimbangkan boleh memberi kesan kepada kesihatan orang ramai, khususnya kanak-kanak yang mungkin lebih terdedah kepada kesan kesihatan akibat jerebu.
“Aktiviti luar bilik darjah sewajarnya dikurangkan atau dihentikan sekiranya keadaan kualiti udara berada pada tahap yang tidak selamat.
“Keselamatan dan kesihatan anak-anak kita hendaklah menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Rais, pihak kerajaan dan agensi berkaitan perlu terus memantau keadaan jerebu dari semasa ke semasa serta mengambil tindakan yang bersesuaian berdasarkan bacaan IPU dan nasihat kesihatan.
“Pada masa sama, pihak sekolah dan ibu bapa disaran supaya sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU serta arahan rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















