Logo Universiti Teknologi MARA di Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

SAMBUTAN Hari Malaysia pada 16 September tahun ini membawa makna tersendiri kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Ketika rakyat memperingati pembentukan Malaysia dan memperbaharui semangat kebangsaan, UiTM pula genap menelusuri tujuh dekad perjalanan sebagai institusi yang membuka pintu ilmu, membina mobiliti sosial dan melahirkan profesional Bumiputera untuk negara.

Pertemuan dua detik bersejarah ini mengingatkan kita bahawa kemerdekaan tidak selesai dengan turunnya bendera penjajah atau terbentuknya sebuah negara berdaulat. Kemerdekaan perlu terus diisi. Antara pengisiannya yang paling bermakna ialah membebaskan manusia daripada kejahilan, kemiskinan, rasa rendah diri dan keterpinggiran melalui pendidikan.

Atas kesedaran itu, UiTM2030 dilancarkan pada 20 Ogos lalu sebagai hala tuju transformasi universiti menuju sebuah Universiti Premier Berimpak Tinggi, berteraskan aspirasi ‘Memupuk Kebijaksanaan, Memperkasa Impak’.

UiTM2030 bukan sekadar pelan untuk mengejar angka atau kedudukan. Ia ialah ikrar bahawa amanah sejarah UiTM mesti diterjemahkan kepada impak sebenar terhadap mahasiswa, keluarga, masyarakat dan negara.

Lahir bersama cita-cita sebuah negara merdeka

Sejarah UiTM bermula pada November 1956, ketika negara masih berada di ambang kemerdekaan. Dewan Latehan RIDA diwujudkan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar melalui latihan dan pendidikan. Institusi itu dirasmikan pada 14 Oktober 1957 oleh Menteri Perdagangan dan Industri ketika itu, Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman.

Daripada sebuah pusat latihan sederhana, institusi ini berkembang menjadi Maktab MARA pada 1965, Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1967 dan akhirnya Universiti Teknologi MARA pada 26 Ogos 1999.

Perjalanan itu bukan suatu kebetulan. Kajian ketika itu menunjukkan negara kekurangan tenaga profesional dan separa profesional dalam kalangan Bumiputera. Sebagai negara muda, Malaysia memerlukan anak watan terlatih untuk mengisi pembangunan ekonomi, pentadbiran, industri dan perkhidmatan profesional. ITM muncul sebagai jawapan kepada tuntutan zaman menghubungkan cita-cita kemerdekaan dengan peluang pendidikan yang nyata.

Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, agenda pembinaan bangsa menjadi semakin luas. Institusi pendidikan perlu memenuhi keperluan Bumiputera di seluruh Persekutuan, termasuk Sabah dan Sarawak. Pembukaan kampus cawangan pertama ITM di Sabah pada 1973 membuktikan bahawa pendidikan mampu menjadi jambatan penyatuan, pembangunan dan penyertaan nasional.

Kini, UiTM mempunyai kira-kira 200,000 mahasiswa di 34 kampus di seluruh negara. Dalam setiap Istiadat konvokesyen, puluhan ribu graduan melangkah keluar membawa ilmu, kemahiran dan harapan keluarga masing-masing.

Saya sering menyebut, impak besar UiTM kepada negara dapat dirasakan kerana hampir setiap keluarga di Malaysia mempunyai seseorang yang pernah belajar di ITM atau UiTM. Di sebalik setiap graduan, lazimnya ada sebuah keluarga yang berubah, sebuah komuniti yang mendapat teladan dan sebuah negara yang menerima tenaga terlatih.

Daripada akses kepada mobiliti

Amanah ini mempunyai asas kukuh termaktub dalam Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) menyatakan khusus “Universiti Teknologi MARA ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan”, menyediakan kerangka perundangan kepada peranan khas UiTM.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak, di samping kepentingan sah kaum-kaum lain.

Oleh itu, memperkasa UiTM bukan usaha yang terpisah daripada pembangunan negara. Ia sebahagian daripada ikhtiar nasional untuk membetulkan ketidakseimbangan, memperluas mobiliti sosial dan memastikan bakat Bumiputera tidak terputus daripada arus pendidikan serta kemajuan ekonomi.

Seiring perubahan zaman, amanah UiTM dalam memperkasa pendidikan Melayu dan Bumiputera tidak boleh berhenti pada usaha membuka pintu universiti. Akses sahaja tidak lagi memadai. Cabaran hari ini adalah untuk memastikan setiap peluang pendidikan benar-benar membina keupayaan, memperkukuh mobiliti sosial dan melahirkan bakat yang mampu mencipta nilai kepada masyarakat serta negara.

Keperluan melakukan anjakan ini menjadi teras Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 baru-baru ini. Pada majlis penutup konvensyen berkenaan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyerahkan tujuh resolusi konvensyen kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Resolusi itu menggariskan perubahan agenda pendidikan Melayu dan Bumiputera daripada sekadar memperluas akses kepada pembinaan keupayaan, pengembangan bakat serta peningkatan mobiliti pendidikan, sosial dan ekonomi.

Antara resolusi utama ialah memperkukuh UiTM sebagai khazanah strategik negara, mengoptimumkan potensi graduan Bumiputera profesional serta menggembleng kekuatan lebih sejuta alumni UiTM dalam bidang kepakaran, keusahawanan, kerjaya dan pelaburan. Usaha ini penting untuk membina laluan lebih luas bagi generasi Bumiputera seterusnya, sekali gus memastikan mereka tidak terpinggir daripada arus kemajuan teknologi, industri dan ekonomi negara.

Justeru, kejayaan pendidikan tidak boleh diukur hanya melalui jumlah mahasiswa yang memasuki universiti atau bilangan graduan yang dihasilkan. Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana ilmu mampu meningkatkan keupayaan, memperbaiki taraf kehidupan, melahirkan profesional berdaya saing dan mencipta nilai kepada masyarakat. Anjakan inilah yang menghubungkan tujuh resolusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 dengan aspirasi UiTM2030.

Membina bakat masa hadapan

Agenda Membina Bakat Masa Hadapan kini menjadi tuntutan mendesak. Persoalannya bukan sekadar sama ada graduan memperoleh pekerjaan pertama, tetapi sama ada mereka mampu menghadapi kecerdasan buatan (AI), perubahan industri, ekonomi digital dan pekerjaan yang mungkin belum wujud hari ini.

Selaras dengan aspirasi kepimpinan negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi, UiTM perlu melahirkan graduan yang mampu belajar dengan pantas mengikut peredaran masa, menyesuaikan diri, memimpin perubahan dan mencipta peluang.

Kita mahu graduan UiTM bukan hanya pencari pekerjaan, bahkan pencipta pekerjaan. Keusahawanan tidak boleh dilihat sebagai pilihan sampingan kerana ia sebahagian daripada daya tahan bangsa. Mahasiswa perlu dibekalkan dengan penguasaan teknologi dan AI, kreativiti, pemikiran kritis, kemahiran komunikasi, etika serta keberanian untuk menukar masalah masyarakat menjadi penyelesaian bernilai.

Penyelidikan pula perlu keluar daripada makmal dan memberi manfaat kepada industri, komuniti dan dasar awam. Empat fokus strategik UiTM2030 iaitu kesejahteraan organisasi, pertumbuhan ekonomi dan tadbir urus; masa hadapan inovatif untuk akademia, pelajar dan industri; kecemerlangan Bumiputera dan pembangunan negara; serta pengukuhan kerjasama strategik dirangka untuk menggerakkan perubahan tersebut.

Bakat dipandu budi dan jati diri

Kesiapsiagaan masa hadapan tidak bermaksud meninggalkan jati diri. UiTM memperkenalkan pendekatan BUDI supaya mahasiswa mengenali tanah air mereka, adat dan budaya. Bakat mengubah diri kita, tetapi budi menentukan arah penggunaan bakat itu.

Ilmu tanpa nilai boleh melahirkan manusia yang cekap tetapi kehilangan tujuan; teknologi tanpa kemanusiaan pula boleh melebarkan jurang. Kita mahu graduan unggul dari segi ‘otak dan watak’ tinggi ilmunya, kukuh akhlaknya dan jelas tanggungjawabnya kepada negara.

Patriotisme pada zaman ini mesti diterjemahkan melalui kompetensi dan sumbangan. Mengibarkan Jalur Gemilang ialah lambang kecintaan, tetapi mempertahankan kemerdekaan menuntut lebih daripada lambang. Pensyarah yang mendidik dengan amanah, penyelidik yang menyelesaikan masalah rakyat, usahawan yang mencipta pekerjaan, penjawat awam yang berintegriti dan graduan yang mengangkat keluarganya keluar daripada kemiskinan mereka semua sedang mengisi makna kemerdekaan.

Kita mempunyai banyak contoh yang membuktikan anak Bumiputera mampu berdiri setaraf dengan bakat terbaik dunia apabila diberikan peluang dan pendidikan. Antaranya Datuk Wan Nazri Wan Aria, graduan UiTM yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Jurutera Struktur bagi Menara Jam Diraja Makkah berhampiran Masjidil Haram ketika bersama firma kejuruteraan Jerman, SL Rasch.

Sumbangan beliau kepada sebuah mercu tanda antarabangsa bukan sekadar kebanggaan peribadi atau institusi. Ia melambangkan bagaimana ilmu mampu membawa anak bangsa dari bilik kuliah ke pentas dunia.

Perubahan bangsa bermula dengan diri

Kejayaan seperti itu tidak lahir daripada rasa selesa. Ia lahir daripada kesediaan mengubah diri menguasai ilmu, bekerja keras, berdisiplin dan berani melangkaui batas.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.’ (Surah al-Ra’d, ayat 11). Ayat ini sangat dekat dengan falsafah pendidikan dan makna kemerdekaan: perubahan bangsa bermula dengan perubahan sikap, pemikiran, ilmu dan tindakan setiap individunya.

Tujuh dekad UiTM turut dibina oleh keberanian tokoh terdahulu. Allahyarham Tun Arshad Ayub, yang menerajui Maktab MARA mulai 1 Disember 1965 dan kemudiannya ITM, percaya bahawa pendidikan dapat membuka ruang kepada mereka yang memerlukan peluang, mengangkat martabat keluarga dan membolehkan generasi muda membina masa hadapan lebih baik. Legasi beliau hidup dalam jutaan kehidupan yang disentuh institusi ini.

Generasi terdahulu telah membuka jalan; generasi hari ini bertanggungjawab memperluasnya. Kita mesti berani berubah tanpa kehilangan jati diri, maju tanpa melupakan sejarah dan mengejar kecemerlangan tanpa meninggalkan nilai kemanusiaan.

Kepada mahasiswa, jangan jadikan ijazah sekadar tiket memperoleh pekerjaan. Jadikan ilmu sebagai kekuatan untuk memperbaiki diri, mengangkat keluarga dan menyelesaikan masalah masyarakat. Kenalilah sejarah negara, hormatilah kepelbagaian yang membentuk Malaysia dan gunakan bakat untuk mendekatkan, bukan memisahkan rakyatnya.

Kepada lebih sejuta alumni UiTM, negara masih memerlukan sumbangan saudara dan saudari. Kembalilah melalui kepakaran, bimbingan, jaringan industri, peluang latihan, keusahawanan, pelaburan dan wakaf ilmu. Kekuatan alumni bukan hanya pada jumlah, tetapi pada keupayaan membina laluan lebih luas untuk generasi seterusnya.

Sempena Hari Malaysia ini, marilah kita memperbaharui tekad. Ayuh, anak bangsa, kita terus mendidik generasi, memperbaiki diri dengan ilmu dan menyumbang kepada negara. Kemerdekaan memberi kita ruang menentukan nasib sendiri; pendidikan memberi kita keupayaan untuk mengubahnya.

Daripada Dewan Latehan RIDA pada 1956 kepada UiTM pada 2026, tujuh dekad ini membuktikan bahawa apabila peluang dipertemukan dengan ilmu, bakat dan daya juang, sebuah bangsa mampu mengubah masa hadapannya.

Dengan semangat Hari Malaysia dan aspirasi UiTM2030, marilah kita melangkah bersama untuk memupuk kebijaksanaan, memperkasa impak dan memastikan UiTM terus menjadi Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional demi Malaysia yang lebih berilmu, bersatu, berdaya saing dan bermaruah.

Dr. Shahrin Sahib .

Oleh Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here