KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menggesa Majlis Perbandaran Taiping (MPT) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melaksanakan pemeriksaan kesihatan mandatori secara menyeluruh terhadap tiga ekor gajah, Dara, Amoi, dan Kelat (DAK) dengan kadar segera.
Menurutnya, satu pasukan veterinar bebas Malaysia perlu dihantar ke Zoo Tennoji dalam tempoh 14 hari untuk melakukan pemeriksaan fizikal secara terus, tanpa sekatan.
Ujarnya, penilaian terhadap berat badan, keadaan tubuh, kulit, mata, kaki dan kuku perlu dilakukan untuk mengesahkan dakwaan bahawa Kelat semakin kurus berbanding pertama kali dibawa dari Malaysia.

Selain itu, tambahnya, ujian darah lengkap, paras hormon kortisol untuk tahap tekanan, dan ujian parasit juga perlu dibuat.
Tegas beliau, ia akan menjawab sama ada musth yang didakwa itu adalah musth sebenar atau simptom penyakit dan stres kronik.
Dalam masa sama, katanya, kebajikan persekitaran DAK juga perlu diukur termasuk saiz keluasan tempat kurungan, kesesuaian lantai, diet harian, dan tempoh pengasingan.
“Gajah yang sihat sepatutnya tidak perlu diasingkan berulang kali dalam sebulan.
“Kami menuntut akses penuh hasil laporan pemeriksaan ini, termasuk video dan keputusan makmal didedahkan kepada umum dan dinilai oleh pakar gajah bebas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Choo Seong menggesa MPT dan NRES untuk membentangkan dan menyemak semula kontrak perjanjian penempatan DAK dengan Zoo Tennoji secara terperinci, khususnya klausa berkaitan pemulangan semula (repatriasi) dan penamatan (exit clause).
Tambah beliau, jika pihak Zoo Tennoji gagal memenuhi tuntutan ini, atau jika keputusan pemeriksaan membuktikan wujudnya kemerosotan kesihatan dan pengabaian kebajikan, maka NRES mesti tunaikan janjinya seperti yang dinyatakan pada 29 April lalu iaitu mengaktifkan segera proses membawa pulang DAK ke habitat asal.
“Ini kerana bukti itu kini semakin jelas di depan mata,” katanya yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN.
Tambahnya, seluruh rakyat Malaysia juga masih menanti jawapan hasil siasatan penuh Suruhanjaya Pencerahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kertas siasatan Op DAK dibuka pada Jun lalu mengikut Akta SPRM 2009.
Dakwa beliau, sebelum ini, dilaporkan 4 individu melibatkan seorang pegawai PERHILITAN; seorang bekas pengarah zoo dan dua pemilik syarikat telah ditahan SPRM, tetapi sehingga kini masih tiada pendakwaan mahkamah.
“Kebajikan haiwan tidak boleh dikompromi atas alasan diplomatik dan birokrasi. DAK adalah khazanah negara. Tempat mereka bukanlah dalam kandang sempit, dibiarkan terseksa dan hidup tertekan.
“Kegagalan untuk bertindak segera boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah memelihara dan melindungi kehidupan liar yang sedang berhadapan dengan ancaman kepupusan di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















