Lelaki warga asing yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah penginapan di Jalan Dunlop, Tawau. - Foto IPD Tawau

KOTA KINABALU – Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas sepucuk pistol semi-automatik jenis Colt .45 bersama tiga butir peluru serta dadah disyaki syabu seberat 901.35 gram dalam serbuan di sebuah penginapan di Jalan Dunlop, Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Menurutnya, pemeriksaan di sebuah bilik penginapan itu menemukan sepucuk pistol semi-automatik jenama Colt .45, satu kelopak peluru dan tiga butir peluru yang disimpan dalam plastik hitam serta disembunyikan di dalam bilik.

“Suspek yang dikenal pasti sebagai lelaki warga asing berusia 26 tahun itu kemudiannya memandu arah pasukan polis ke sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan penginapan berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap sebuah beg silang berwarna hitam yang diletakkan di bawah tempat duduk pemandu menemukan satu paket plastik mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 901.35 gram,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah berkenaan adalah miliknya, manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya turut didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine.

Ujarnya, dalam siasatan berkaitan senjata api, suspek mendakwa pistol berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki dari daerah lain dan dipercayai untuk dijual kepada pihak lain di negara jiran.

“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain tindakan berkaitan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek telah diperintah reman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta pemilikan senjata api secara haram.

Katanya, masyarakat juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan awam bagi membolehkan tindakan segera diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here