Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menegaskan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bukan milik mana-mana parti atau individu, sebaliknya siapa yang akan mewakili kawasan itu pada pilihan raya akan datang ditentukan sepenuhnya oleh rakyat.

Beliau berkata, kenyataannya sebelum ini mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang hanyalah hasrat untuk melakukan yang terbaik dan berusaha mendapatkan sokongan rakyat, bukannya mahu ‘merampas’ Duyong daripada mana-mana pihak.

“Saya akan jawab sekali sahaja. Bila ditanya tentang PRN yang akan datang, saya kata kita akan buat yang terbaik dan berusaha mendapatkan sokongan rakyat. Itu sahaja.

“Tetapi, bila ia dilaporkan sebagai mahu ‘rampas’ Duyong, akhirnya timbul pula pelbagai reaksi dan kemarahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Ahli Parlimen Kota Melaka itu, terdapat pihak yang memberi reaksi keras sehingga menyatakan mahu ‘lawan habis-habisan’, selain ada yang mahu DAP kalah deposit.

Bagaimanapun, Poay Tiong berkata, persaingan politik tidak seharusnya membawa kepada permusuhan atau kebencian antara penyokong parti.

“Bagi saya, tidak perlu sampai begitu. Kalau mahu bertanding, kita bertanding. Kalau mahu bersaing, kita bersaing.

“Bersainglah dengan dasar, dengan rekod kerja, dengan khidmat kepada rakyat. Tak perlu cipta musuh. Tak perlu timbulkan kebencian,” ujarnya.

Khoo berkata, beliau percaya rakyat Duyong cukup matang untuk membuat penilaian sendiri terhadap calon dan parti yang bertanding.

“Kita tidak perlu tentukan untuk mereka siapa yang patut dipilih. Biar rakyat dengar. Biar rakyat nilai. Biar rakyat tentukan.

“Saya tidak takut untuk bersaing. Dan saya juga tidak marah kalau ada yang mahu bersaing dengan kita. Sebab dalam demokrasi, itu memang hak semua pihak,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berharap perbezaan politik tidak menyebabkan masyarakat Duyong berpecah atau bermusuh hanya kerana pilihan raya.

“Kita boleh berbeza politik. Kita boleh berlawan dalam pilihan raya. Tetapi akhirnya, kita semua masih mahu yang terbaik untuk rakyat Duyong.

“Pertandingan biar matang. Keputusan biar di tangan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here