TAWAU – Tiga lelaki berusia antara 17 hingga 38 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Tanjung Batu Tengah, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kesemua suspek ditahan dalam satu operasi di Lorong Jurangan Rosli, Jalan Tanjung Batu selepas polis berjaya mengesan mereka.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah,” katanya dalam sebuah kenyataan di Facebook hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek merupakan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai menetap di Malaysia.
Dalam kejadian itu, katanya, sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Tengah dipercayai dipecah masuk menyebabkan pelbagai barangan hilang.
Tambah beliau, antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, sebuah televisyen, dekoder Astro, jam tangan, barangan bayi, kasut, beg tangan, emas tiruan dan tiga kipas berdiri.
“Jumlah kerugian akibat kejadian itu dianggarkan sekitar RM20,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan keselamatan kediaman ketika meninggalkan rumah, termasuk mengunci pintu dan tingkap dengan sempurna.
“Masyarakat juga dinasihatkan memaklumkan kepada jiran yang dipercayai sekiranya rumah ditinggalkan dalam tempoh panjang serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada polis,” katanya. – MalaysiaGazette
















