Kenderaan yang dipercayai membawa Ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Razarudin Husain keluar selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan selesai bermesyuarat bagi membincangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Negara, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.

Mesyuarat di luar kebiasaan itu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mula bersidang kira-kira jam 9 pagi dan berakhir 40 minit kemudian.

Kenderaan yang dipercayai membawa Ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh keluar selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 SEPTEMBER 2026.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Terdahulu Hannah Yeoh tiba di Istana Negara melalui Pintu 2 kira-kira jam 7.48 pagi tadi, sebelum disusuli Peguam Negara kira-kira 10 minit kemudian.

Permohonan Najib tidak diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri kemudian memaklumkan bahawa Agong berkenan menangguhkan pertimbangan permohonan itu ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.

Najib, 73, mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes SRC International.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan yang ketika itu dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Bekas presiden UMNO itu turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion pada 2025 selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB berasingan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here