Tangkap layar video tular sebuah kereta Porsche dipandu secara berbahaya dengan melawan arus di Kilometer 6.5, Jalan Ismail Sultan. - Foto Media Sosial

ISKANDAR PUTERI – Pemandu Porsche berusia 43 tahun menyerah diri kepada polis selepas memandu secara berbahaya dengan melawan arus ketika melalui sekatan jalan raya di Kilometer 6.5, Jalan Ismail Sultan, di sini.

Terdahulu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri mengesan rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial memaparkan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya@Yahaya berkata, lelaki terbabit menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri semalam.

“Ujian saringan air kencing turut dijalankan ke atas pemandu terbabit dan keputusannya adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Jika sabit kesalahan, katanya, pesalah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Selain itu, ujarnya, lesen memandu juga boleh digantung untuk tempoh minimum lima tahun.

“Polis menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memandu secara melulu dan berbahaya, khususnya perbuatan yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here