KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Perkara itu dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan media berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada syarat Najib membayar denda sebanyak RM50 juta.
“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan BHEUU hari ini.
Artikel berkaitan:
- Penangguhan pengampunan Najib dibuat berdasarkan lunas hukum, Perlembagaan – PM
- Sultan Ibrahim Perkenan Permohonan Pengampunan Najib Ditangguh #MGFlash
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berlangsung di Istana Negara pagi tadi selepas permohonan Najib ditangguhkan pada mesyuarat terdahulu pada 11 September lalu.
Terdahulu, kenderaan dipercayai membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilihat memasuki pekarangan Istana Negara bagi menghadiri mesyuarat berkenaan.
Najib sedang menjalani hukuman berkaitan kes SRC International. Pada 2024, hukuman penjara beliau sebelum ini telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Mesyuarat hari ini merupakan Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64 dan mendapat perhatian selepas permohonan Najib menjadi antara perkara yang dipertimbangkan dalam proses pengampunan berkenaan. – MalaysiaGazette
















