KAJANG – Penjara Kajang di sini menjadi tumpuan pengamal media susulan perkembangan terbaharu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Keadaan di sekitar penjara berkenaan semakin menjadi perhatian sejak pukul 10 pagi tadi selepas Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman tersebut di kediamannya.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta,” menurut kenyataan itu.
Najib juga perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan dan sekiranya gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat tersebut akan terbatal.
Dalam keadaan itu, beliau perlu meneruskan baki hukuman penjara seperti yang ditetapkan.
Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pagi ini.
Mesyuarat berkenaan sebelum ini ditangguhkan pada 11 September lalu.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 mengurangkan hukuman asal 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Pada Disember 2025, Najib turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion berkaitan 1MDB.
Beliau kini sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan mengenai bila Najib akan dipindahkan dari Penjara Kajang bagi menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah. – MalaysiaGazette
















