PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Sembilan, khususnya Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim digesa supaya lebih tegas dalam pendirian dan tidak berbolak-balik atau tunduk kepada tekanan politik dalam menangani isu membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut perlu dilihat dalam kerangka raja berperlembagaan yang menjadi asas sistem pemerintahan negara.
“Saya harap Kerajaan Negeri, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim lebih tuntas pendirian, tidak berbolak-balik, dan tidak tunduk kepada tekanan-tekanan politik kerana ini soal raja berperlembagaan,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya hari ini.
Dalam sidang media sama, beliau berkata, sebarang tindakan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bukan perkara kecil dan perlu mengambil kira prinsip Perlembagaan, undang-undang serta adat yang terpakai di negeri itu.
“Ini soal memakzulkan ataupun menurunkan raja bukan perkara yang kecil.
“Kita dalam negara tertegak dengan prinsip Perlembagaan, menjunjung sistem beraja,” katanya.
Menurut Anwar, beliau tidak menolak prinsip undang-undang yang terpakai di Negeri Sembilan termasuk berkaitan sistem Yang di-Pertuan Besar dan Undang.
Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu memastikan setiap peraturan dan kaedah yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya.
“Kita harus tentukan peraturan dipatuhi sepenuhnya, kaedah diikuti, dan yang penting bagi kita sekarang ini, kedudukan Yang di-Pertuan Negeri tidak tergugat,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa sebarang usul daripada Undang atau pihak berkaitan perlu dibuat mengikut proses dan peraturan yang ditetapkan.
“Kalau ada apa-apa usul daripada Undang dan sebagainya, ikut proses, peraturan sepenuhnya.
“Peraturan itu tidak terpakai hanya kepada raja, dan juga kepada Undang. Ikut proses, dan kita tidak campur selain daripada itu,” katanya.
Media melaporkan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April 2026 selepas menerima nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi berkenaan adalah tidak sah.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, pentadbiran negeri merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan apa jua tindakan yang perlu diambil dilaksanakan mengikut undang-undang semasa dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
Langkah berkenaan susulan kenyataan Ismail semalam ketika sesi temu ramah dengan pengamal media berkaitan arahan untuk mewartakan Proklamasi bertarikh 19 April 2026. – MalaysiaGazette
















