Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal mendapat manfaat daripada peningkatan aras perlindungan penggunaan elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800kWj sebulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, TNB menyambut baik keputusan kerajaan yang membolehkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 800kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10 dalam bil elektrik bulanan.

Menurut beliau, pengukuhan perlindungan tambahan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September 2026 hingga 31 Disember 2026.

Bagi penggunaan elektrik pada September, jumlah pengurangan berkenaan akan dikreditkan dalam bil elektrik pengguna pada Oktober.

“Peningkatan aras perlindungan itu memberi manfaat kepada hampir satu juta pengguna domestik tambahan berbanding aras perlindungan sebelum ini.

“Melalui peningkatan aras ini, TNB dijangka akan menampung caj AFA dan caj peruncitan berjumlah sekitar RM120 juta hingga RM150 juta sepanjang tempoh perlindungan tambahan tersebut berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat media mengenai mekanisme perlindungan tambahan buat pengguna domestik elektrik di sini hari ini.

Menurut Shamsul, langkah berkenaan diambil bagi mengurangkan impak penggunaan elektrik terhadap kos sara hidup pengguna.

Pada masa sama ia memastikan rakyat terus dilindungi daripada perubahan kadar AFA yang dipengaruhi ketidaktentuan pasaran kos bahan api global susulan krisis di Asia Barat.

Beliau turut mengambil kira peningkatan penggunaan elektrik akibat cuaca panas dan jerebu yang sedang melanda ketika ini.

Bagaimanapun, Shamsul menasihatkan pengguna supaya terus mengamalkan kecekapan tenaga khususnya ketika negara berdepan cabaran gelombang cuaca panas dan jerebu.

Jelas beliau, pengguna perlu mengekalkan amalan penggunaan elektrik secara berhemah bagi memastikan penggunaan tenaga kekal optimum. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Subsidi bil letrik pengguna domestik diperluas sehingga 800 kWj sebulan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here