KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail mahu Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan diberikan ruang membuktikan kemampuan menerajui badan induk itu berdasarkan pengalaman luasnya dalam pentadbiran Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Jamal berkata pengalaman Ab Ghani sebagai bekas pemain dan Presiden MFL menjadi kelebihan untuk memahami selok-belok pengurusan bola sepak negara, sekali gus membantu beliau mengenal pasti serta memperbaiki kelemahan yang berlaku sebelum ini.
“Pengalaman yang beliau ada dalam pentadbiran (MFL) itu saya rasa sudah cukup untuk beliau memegang jawatan (Presiden FAM).
“Saya berpandangan beliau orang paling layak untuk memastikan supaya kelemahan yang berlaku selama hari ini dapat diperbaiki dan ditambah baik,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Ab Ghani diumum Presiden FAM yang baharu selepas memperoleh undi majoriti pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029 di Petaling Jaya.
Ab Ghani memperoleh 20 undi untuk menewaskan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang meraih lima undi dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan presiden.
Pemilihan tersebut diadakan bagi mengisi semula barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029 selepas keseluruhan jawatankuasa sebelum ini meletak jawatan secara kolektif pada Januari lepas.
Keputusan berundur itu dibuat ketika FAM menghadapi isu dokumen tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang membawa kepada tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu dan pemain terbabit.
Jamal Nasir ayang juga bekas pemain pertahanan negara menyifatkan Ab Ghani sebagai seorang yang terbuka dalam menerima pandangan demi kepentingan bola sepak negara.
Bekas ahli Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM itu berkata kepimpinan baharu juga perlu menumpukan kepada pengukuhan bola sepak pada peringkat Asia Tenggara terlebih dahulu sebelum memikirkan sasaran lebih jauh di pentas Asia.
“Pentadbiran baharu ini perlu fokus kuasai peringkat Asia Tenggara dengan menang ke atas Vietnam atau Thailand, kemudian baru boleh bercakap mengenai (aspirasi) bagi peringkat Asia,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem bola sepak negara, Jamal Nasir berpandangan pembangunan akar umbi perlu diberi perhatian lebih serius dalam melahirkan lebih ramai pemain pelapis untuk skuad Harimau Malaya.
Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berkata Ab Ghani memerlukan masa untuk memulihkan keyakinan peminat susulan pelbagai isu yang berlaku dalam FAM sebelum ini.
“Beliau perlu faham peminat bola sepak Malaysia sekarang ini sangat kecewa dengan yang berlaku hingga menyebabkan berlakunya peletakan jawatan beramai-ramai anggota exco FAM hari itu dan isu paling besar adalah isu pasukan kebangsaan,” katanya.
Zakaria turut berharap supaya individu yang bakal menggantikan Ab Ghani sebagai Presiden MFL dapat memastikan pentadbiran badan pengelola liga dan FAM bergerak seiring.
Semalam, Ab Ghani Hassan bercadang melepaskan jawatan selaku peneraju MFL dalam tempoh sebulan, bagi memberi tumpuan penuh kepada tugas di badan induk bola sepak negara.
Ab Ghani berkata beliau tidak mahu memegang dua jawatan penting itu terlalu lama kerana FAM memerlukan perhatian segera, khususnya dalam usaha menangani pelbagai isu serta melaksanakan pembaharuan dalam tempoh baki penggal 2025-2029.
Dalam pada itu, Zakaria berkata FAM tidak perlu terburu-buru menetapkan sasaran terlalu tinggi terhadap Harimau Malaya untuk layak ke Piala Dunia, sebaliknya berusaha mara sejauh mungkin dalam saingan kelayakan kejohanan berprestij itu pada peringkat Asia terlebih dahulu.
Pada masa sama beliau berharap kepimpinan baharu FAM bersikap lebih terbuka terhadap sebarang kritikan kerana teguran diberikan bukan bermakna membenci tetapi atas sikap prihatin dan sayangkan bola sepak negara.
“Media pula perlu bebas menulis mengenai FAM, pasukan kebangsaan, dan juga liga. Luaskan kebebasan itu supaya minda rakyat akan dapat berfungsi dengan lebih baik lagi apabila mendapat maklumat yang lebih bebas dan juga lebih tepat.
“Kita tidak mahu lagi sorok cerita terutama sekali isu kewangan. Ini yang paling penting untuk Presiden FAM lakukan, kalau betul-betul mahu kembalikan kepercayaan peminat kepada FAM,” katanya. – BERNAMA
















