Penjara Kajang menjadi tumpuan pengamal media susulan perkembangan terbaharu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 ketika di Kajang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2026.

KAJANG – Selepas kira-kira 10 jam menunggu bagi mendapatkan perkembangan mengenai kemungkinan pergerakan keluar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari Penjara Kajang, sebahagian besar wakil media mula beredar malam ini.

Terdahulu wakil media berkumpul di luar pintu masuk Penjara Kajang sejak kira-kira pukul 10 pagi bagi mengikuti perkembangan susulan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pada peringkat awal, dianggarkan lebih 30 petugas media masih berada di sekitar laluan masuk penjara namun keadaan beransur lengang selepas tiada sebarang pergerakan melibatkan Najib dikesan sehingga malam ini.

Suasana di lokasi juga kekal tenang dan terkawal tanpa kehadiran kumpulan penyokong Najib.

Tinjauan mendapati, pergerakan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut hanya membabitkan kenderaan logistik serta kenderaan jabatan yang keluar masuk Penjara Kajang seperti biasa.

Beberapa pegawai penjara turut dilihat berada di hadapan pintu utama bagi memantau keadaan semasa.

Media sebelum ini dimaklumkan Jabatan Penjara Malaysia dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib namun setakat 8 malam ia belum diterima.

Najib hari ini mendapat pengampunan bersyarat daripada Sultan Ibrahim dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perintah berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara pada Jumaat.

Najib, 73, sebelum ini disabitkan kesalahan menyalahgunakan RM42 juta milik SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan separuh hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here