KUALA LUMPUR – Fasa ujian dan pentauliahan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini berjalan lancar dengan pelbagai ujian sistem dan pemeriksaan teknikal dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan kesiapsiagaan rangkaian ECRL sebelum perkhidmatan kepada orang awam dimulakan.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam keyataan berkata, sebuah tren pemeriksaan canggih serta berteknologi tinggi, Comprehensive Inspection Train (CIT) telah menjalankan aktiviti pemeriksaan dan pengujian di sepanjang jajaran ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor sejak 25 Ogos lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, katanya, tren CIT telah melaksanakan beberapa perjalanan ulang-alik bagi merekod parameter geometri landasan, memeriksa sistem semboyan kereta api serta meneliti prestasi sistem aliran elektrik melalui Overhead Catenary System (OCS).
Menurutnya, kesemua pemeriksaan itu dilaksanakan bagi memastikan setiap komponen dan sistem utama ECRL berfungsi mengikut keperluan teknikal yang ditetapkan serta menyokong pengoperasian yang selamat dan efisien.

Tambahnya, tren CIT semalam turut membawa sekumpulan pengamal media tempatan dan antarabangsa dalam perjalanan dari Stesen Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen Kuantan Port City, dengan masa perjalanan direkodkan selama satu jam 30 minit sahaja, dan durasi yang sama untuk perjalanan pulang.
“Perjalanan ini turut melalui Terowong Genting ECRL yang sepanjang 16.39km, iaitu terowong rel terpanjang di Asia Tenggara, sekali gus memberikan pengalaman kepada para pengamal media untuk merasai sendiri tahap kesiapsiagaan jajaran ECRL serta kemudahan dan sistem yang telah dibangunkan bagi menyokong operasi perkhidmatan ECRL,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dalam kenyataan sama berkata, kemajuan fasa ujian dan pentauliahan yang dicapai ketika ini merupakan satu perkembangan penting dalam memastikan ECRL mencapai tahap kesiapsiagaan operasi yang ditetapkan.
“Kami berpuas hati dengan kemajuan fasa pengujian dan pentauliahan ECRL setakat ini. Setiap ujian dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh bagi memastikan semua sistem, komponen serta infrastruktur ECRL memenuhi keperluan keselamatan dan teknikal sebelum perkhidmatan kepada orang awam dimulakan.
“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Projek ECRL. Oleh demikian, pihak MRL dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) akan terus berganding bahu dengan semua pihak berkepentingan dan memastikan setiap peringkat pengujian serta pengesahan teknikal diselesaikan dengan teliti.
“Apa yang sedang dilaksanakan hari ini adalah sebahagian daripada usaha memastikan ECRL benar-benar bersedia untuk beroperasi dengan selamat, cekap dan boleh dipercayai,” katanya.
Pada masa sama, tambah kenyataan itu, Projek ECRL juga telah memulakan Ujian System Integration Testing (SIT) yang merangkumi siri ujian di sepanjang rangkaian ECRL dari Kota Bharu hingga Gombak dengan menggunakan lokomotif elektrik (E-Loco), tren Electric Multiple Unit (EMU) dan tren CIT yang dilengkapi dengan pelbagai sensor dan sistem diagnostik bagi menilai prestasi secara menyeluruh.
Katanya, ujian peningkatan kelajuan (speed step-up test) yang melibatkan E-Loco dan tren CIT antara Kota Bharu dan Gombak serta ujian Automatic Train Protection (ATP), yang merupakan sistem keselamatan rel yang memantau kelajuan kereta api dan pematuhan isyarat juga telah berjaya diselesaikan.
Setakat ini, ujarnya, lebih daripada 70 peratus keseluruhan program ujian telah diselesaikan oleh ‘National Engineering Research Center of System Technology for High-Speed Railway and Urban Rail Transit’, iaitu institut yang dilantik untuk melaksanakan ujian serta mengesahkan bahawa pembinaan rangkaian ECRL mematuhi semua piawaian keselamatan dan teknikal yang ditetapkan.
“Ujian sistem semboyan yang lain kini sedang dilaksanakan secara berperingkat dari Kota Bharu menuju ke Gombak.
“Ujian ini dijalankan secara menyeluruh mengikut stesen bagi memastikan kefungsian, kebolehpercayaan dan integrasi sistem dapat beroperasi dengan lancar di seluruh rangkaian.
“Program pengujian sistem semboyan dijangka selesai pada Oktober 2026, sebelum membolehkan pelaksanaan Fault Free Run (FFR) dan operasi percubaan,” katanya.
Pembinaan Projek ECRL telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 95.41 peratus setakat Ogos 2026, selari dengan penyiapan jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak menjelang akhir tahun ini dan Fasa 2 antara Gombak dan Pelabuhan Klang menjelang Disember 2027. – MalaysiaGazette
















