Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes saman 1MDB terhadapnya atas dakwaan penyelewengan dana syarikat, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 OGOS 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan baki hukuman secara tahanan di rumah ditentukan.

Jabatan Penjara menerusi kenyataan hari ini berkata, sebarang pemakluman dan dokumen berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada jabatan itu untuk tindakan selanjutnya.

“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa yang berkenaan, selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, jabatan berkenaan akan melaksanakan sebarang keputusan dan arahan yang diterima secara teratur, profesional dan berintegriti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkenaan.

Terdahulu, Jabatan Penjara berkata pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64 berkaitan pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Berdasarkan kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara masih menunggu surat rasmi pemakluman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan itu sebelum tindakan lanjut dapat ditentukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here