Lawrence Low.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengkaji semula had pelepasan bil elektrik isi rumah dengan menaikkannya daripada 800 kepada 1,200 kilowatt jam (kWh) selain melaksanakan mekanisme berperingkat supaya pengguna tidak berdepan kenaikan bil secara mendadak apabila melepasi had ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi dan Hal Ehwal PKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, keputusan kerajaan menaikkan had daripada 600 kepada 800 kWh sememangnya memberi sedikit kelegaan kepada isi rumah, namun mekanisme sedia ada masih perlu diperhalusi.

Menurut beliau, pelepasan yang berkurangan secara berperingkat apabila penggunaan meningkat adalah lebih sesuai berbanding menamatkannya secara mendadak selepas pengguna melepasi had tertentu.

“Kerajaan perlu mengkaji peluasan liputan sehingga 1,200 kWh dengan mekanisme progresif supaya isi rumah tidak berdepan lonjakan mendadak dalam bil elektrik apabila penggunaan melebihi had.

“Pendekatan ini membolehkan isi rumah mengekalkan penggunaan elektrik secara munasabah pada masa sama terus meningkatkan kecekapan tenaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lawrence berkata, kos elektrik isi rumah juga mempunyai kaitan dengan aktiviti ekonomi kerana perbelanjaan yang lebih terkawal boleh memberi ruang kepada pengguna mendapatkan peralatan elektrik yang lebih cekap tenaga.

Ujarnya, langkah itu termasuk pembelian penghawa dingin, peti sejuk, mesin basuh, komputer, kenderaan elektrik dan peralatan rumah pintar yang secara tidak langsung menyokong sektor elektrik dan elektronik, peruncitan, pembaikan serta perkhidmatan berkaitan.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus ke atas elektrik isi rumah dikaji semula dan diturunkan kepada enam peratus atau lebih rendah.

“Elektrik merupakan keperluan asas isi rumah dan wajar diberi pertimbangan yang sama sekiranya kerajaan boleh mengurangkan cukai lain yang memberi kesan kepada perkhidmatan asas serta aktiviti ekonomi,” ujarnya.

Low turut meminta kerajaan menilai semula tarif asas semasa di bawah RP4 sebanyak 45.40 sen bagi setiap kWh dan mempertimbangkan kadar menghampiri paras RP3 iaitu 39.95 sen, perbezaan 5.45 sen atau kira kira 13.6 peratus.

Beliau berkata, perubahan kos bahan api dan penjanaan sudah mengambil kira melalui mekanisme AFA, justeru komponen tarif asas, caj kapasiti dan kos rangkaian juga wajar dinilai secara telus.

“Sekiranya terdapat peningkatan kecekapan dan penjimatan kos, manfaat itu wajar turut dikongsi dengan pengguna dan sektor perniagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here