Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki perkarangan Istana Negeri Sembilan dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Kenderaan yang dipercayai membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan, di sini kira-kira 6 petang.

Anwar dijangka menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan perkembangan berhubung kedudukan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (MMKN).

Turut dijangka menghadap ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim.

Para pengamal media mula berkumpul di hadapan Istana Negeri Sembilan sejak kira-kira 3 petang tadi bagi mengikuti perkembangan berhubung isu berkenaan.

Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam tadi, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli MMKN berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Azizi berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli MMKN memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas sebelum dilantik menganggotai MMKN Negeri Sembilan.

Berikutan pembatalan itu, Menteri Besar perlu mempersembahkan senarai calon Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here