KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan didakwa telah menerima notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung tindakan terhadap gabungan tersebut.
Sumber tertinggi komponen PN memberitahu MalaysiaGazette, notis berkenaan diserahkan kepada kedua-dua pemimpin PN itu semalam.
“Selain itu, parti-parti komponen turut mendapat notis bahawa mereka tidak boleh menggunakan nama dan logo PN sepanjang 30 hari untuk PN menjawab,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, tempoh 30 hari itu bertujuan memberi ruang kepada PN untuk mengemukakan jawapan atau representasi berhubung perkara yang dibangkitkan RoS.
Sumber berkata, antara perkara yang menjadi asas kepada tindakan itu ialah dakwaan PN tidak mematuhi perlembagaan gabungan tersebut, termasuk kegagalan memanggil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghadiri mesyuarat PN.
“Namun, sampai sekarang tiada bukti daripada PN yang menunjukkan mereka telah memanggil Bersatu,” katanya lagi.
MalaysiaGazette dimaklmumkan, RoS turut membangkitkan beberapa perkara lain terhadap PN, namun sumber memilih untuk tidak menghuraikannya kerana proses berkenaan masih berjalan.
Perkembangan tersebut menambah tekanan terhadap PN ketika gabungan itu berdepan pertikaian dalaman dengan Bersatu yang sebelum ini mengemukakan aduan rasmi kepada RoS.
RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan daripada Bersatu pada 11 Ogos lalu berhubung dakwaan ia tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026, selain isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan tersebut.
Artikel berkaitan: Pas yang pilih putus hubungan, Bersatu tunggu keputusan ROS – Muhyiddin
Media sebelum ini melaporkan, Takiyuddin telah dipanggil RoS untuk memberikan keterangan kira-kira empat jam berhubung aduan Bersatu.
Dalam penjelasannya ketika itu, Takiyuddin berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas Bersatu mengumumkan hasrat menggunakan logo sendiri untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sebelum itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa RoS membuat keputusan segera terhadap aduan berkenaan.
Muhyiddin berkata, Bersatu telah mengemukakan lapan perkara utama yang didakwa dilanggar dan tidak dihormati oleh kepimpinan PN, selain berharap RoS membuat keputusan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, status rasmi notis terbaharu berkenaan serta tindakan lanjut RoS belum dimaklumkan secara rasmi.
Perkembangan itu dijangka menjadi perhatian kerana sebarang keputusan berkaitan status PN boleh memberi implikasi kepada operasi gabungan berkenaan serta penggunaan nama dan logonya oleh parti-parti komponen. – MalaysiaGazette
Pas Yang Putuskan Hubungan Dengan Bersatu; Muhyiddin Harap RoS Buat Keputusan Dalam Masa Terdekat
















