KUALA LUMPUR – Semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) digantung berkuat kuasa semalam selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap gabungan politik berkenaan.
RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perintah tersebut dibuat di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Menurutnya, tindakan itu bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan berkenaan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.
“Perintah penggantungan ini bertujuan untuk menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, RoS turut memaklumkan notis tersebut bertujuan untuk meminta PN memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh Bersatu kepada RoS dan notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran.
Dalam pada itu, RoS menyeru semua pihak supaya merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan jabatan berkenaan bagi mendapatkan penjelasan tepat mengenai status PN.
RoS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“RoS menyeru semua pihak agar merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan serta mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















