KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) yakin Pas akan terus ‘dibuli’ UMNO dalam rundingan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi pengajaran besar kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Dakwanya, UMNO masih berlagak seperti ‘abang long’ seolah-olah parti itu masih mempunyai kekuatan politik seperti dahulu, sedangkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menunjukkan jumlah kerusi Parlimen dimenangi Pas lebih besar berbanding UMNO.
“Jadi persoalannya, sampai bila Pas mahu terus memberikan laluan kepada UMNO dalam rundingan kerusi?
“Di Johor, Pas sendiri mengakui bahawa mereka memberi laluan kepada UMNO dan komponen BN di kerusi yang tidak ditandingi Pas. Presiden Pas sendiri pernah menggambarkan keadaan itu seperti Pas menjadi ‘penjaga gol’ yang membantu UMNO menjaringkan gol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dzul Hilmi berkata, persoalannya kini sama ada formula sama akan berulang di Melaka dengan Pas dan PN memberikan ruang besar kepada UMNO, sedangkan Pas sendiri mendakwa mempunyai kekuatan di beberapa kerusi.
“Jadi saya fikir rakyat berhak melihat sama ada rundingan ini benar-benar berdasarkan peluang kemenangan ataupun sekadar memberikan kelebihan kepada UMNO.
“Selepas Melaka, saya tidak sabar untuk melihat bagaimana pula rundingan berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kalau UMNO benar-benar yakin mereka begitu kuat, adakah mereka pula bersedia memberikan ruang kepada Pas di negeri-negeri yang Pas kuasai?” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PH tidak akan melayan tuntutan UMNO yang mahu menganggap semua kerusi sebagai hak parti berkenaan.
Katanya, rakyat kini menilai politik yang terlalu mementingkan pembahagian kuasa dan kerusi, sebaliknya mahu melihat rekod serta kemampuan parti membawa perubahan.
“Yang lebih penting ialah siapa yang benar-benar mempunyai rekod, kemampuan dan mandat untuk membawa perubahan kepada rakyat.
“Dan kalau UMNO mahu bercakap soal kekuatan, saya cadangkan mereka melihat dahulu realiti keputusan pilihan raya dan kekuatan sebenar setiap parti, bukan sekadar berlagak sebagai ‘abang long’,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa Pas mengadakan PRN di negeri yang ditadbirnya bagi membuktikan keikhlasan parti itu.
Berucap ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, Mohamad berkata, jika formula keikhlasan itu berjaya dibuktikan, ia boleh diguna pakai sebagai model penyatuan Melayu bagi menghadapi PRU-16. – MalaysiaGazette
















