KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir pihak tertentu untuk melakukan apa sahaja ketika mereka memiliki kuasa ketika ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pihak tersebut boleh menggunakan agensi kerajaan yang dimiliki mereka untuk menindas parti lawan.
“Kamu ada kuasa buatlah apa sahaja, segala agensi kerajaan kamu gunakan untuk menindas lawan. Tapi ingatlah akan tiba masa kamu pula berada di bawah nanti,” tulisnya dalam satu hantaran ringkas di media sosial di sini hari ini.
Hantaran itu dipercayai merujuk kepada pengesahan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa semalam.
Menurut RoS dalam satu kenyataan hari ini, perintah penggantungan itu dibuat mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) susulan notis dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.
Katanya, notis terbabit meminta PN memberi penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu kepada jabatan itu.
Sebelum ini, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu, antara lain berkaitan dakwaan parti itu tidak terbabit dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu status keanggotaannya dalam gabungan berkenaan. – MalaysiaGazette
















