KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu menegaskan bahawa Pertandingan Bola Jaring Campuran Lelaki dan Wanita yang mendapat bantahan pelbagai pihak bukan anjuran persatuan itu.
Presidennya, Zuraida Md Noor berkata, sehubungan itu, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama penganjur bagi mendapatkan penjelasan dan membincangkan perkara berkenaan.
“Alhamdulillah, perbincangan berlangsung secara harmoni dan terbuka. Hasil perbincangan, pihak penganjur bersetuju tidak meneruskan pertandingan tersebut.
“Saya menghargai keterbukaan dan sikap bertanggungjawab pihak penganjur dalam menerima pandangan serta mengambil kira perkara yang dibincangkan.
“Keputusan ini bukan untuk menyekat masyarakat daripada bersukan atau menafikan ruang wanita dalam aktiviti sukan. Sebaliknya, kita mahu sukan terus berkembang seiring dengan nilai agama, adab dan budaya masyarakat Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya di sini hari ini.

Zuraida menambah, pihaknya turut menyambut baik pendirian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamudin Abdul Karim
berhubung pembatalan pertandingan yang bercanggah dengan Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu.
Katanya, aktiviti sukan melibatkan lelaki dan wanita perlu dianjurkan dengan mengambil kira batas pergaulan yang sewajarnya, khususnya dalam pertandingan yang melibatkan sentuhan dan interaksi fizikal secara langsung.
Jelas beliau, pendirian itu bukan ditujukan kepada mana-mana individu atau pihak tetapi berasaskan prinsip dan tanggungjawab dalam penganjuran aktiviti awam.
“Perkara yang menyentuh nilai agama dan kehidupan bermasyarakat wajar ditangani dengan baik dan berhemah.
“Saya berharap semua penganjur sukan dapat mengambil kira perkara ini lebih awal agar setiap program dapat dilaksanakan dengan lancar serta selari dengan garis panduan yang ditetapkan.
“Terengganu mahu terus menjadi negeri yang aktif, sihat dan maju dalam bidang sukan, tanpa mengorbankan identiti dan nilai yang menjadi pegangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















