KUALA LUMPUR – Penggantungan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak semestinya menghalang usaha penyatuan orang Melayu, sebaliknya ia boleh dilakukan melalui pendekatan dan strategi lain.
Pakar Bahasa dan Perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, walaupun gabungan PN secara formal kini berdepan sekatan, kekuatan jati diri serta kesediaan orang Melayu untuk bersatu masih boleh menjadi asas kepada usaha berkenaan.
Menurut beliau, tindakan RoS itu susulan aduan yang dibuat berhubung kedudukan gabungan berkenaan dan keputusan tersebut menyebabkan kegiatan PN tidak dapat diteruskan seperti sebelum ini.
“Gabungan formal ini dengan arahan ROS tidak boleh diteruskan. Tetapi sokongan orang Melayu masih boleh diteruskan atas nama atau pendekatan lain,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan semasa, parti-parti politik khususnya yang mempunyai kepentingan terhadap agenda orang Melayu perlu melihat ruang lain untuk meneruskan kerjasama tanpa bergantung sepenuhnya kepada bentuk gabungan yang formal.
Katanya, perkara lebih penting ialah memastikan kekuatan jiwa, jati diri dan kesediaan orang Melayu untuk terus bersatu tidak terhakis hanya disebabkan halangan terhadap sesebuah gabungan politik.
“Saya kira dalam apa-apa perkara yang ada peluang, yang pentingnya ada kekuatan jiwa dan keteguhan hati.
“Jati diri orang Melayu untuk bersatu itu hendaklah sentiasa kuat,” ujarnya.
Mengulas dakwaan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa tindakan RoS itu mempunyai agenda besar, berniat jahat dan bersifat ‘mala fide’ serta didakwa dipengaruhi tekanan politik, Teo berkata, perkara sedemikian perlu dilihat berdasarkan keadaan dan masa tindakan itu dibuat.
Beliau turut menyentuh perkembangan politik di beberapa negeri termasuk Johor dan Melaka yang menurutnya memperlihatkan kemungkinan wujudnya bentuk kerjasama politik melalui pendekatan lain.
“Yang penting, sudah kelihatan pakatan itu berhasil di Johor dan pasti akan berhasil di Melaka ini,” tambahnya.
Takiyuddin dalam kenyataannya hari ini menegaskan, PN tidak menolak kemungkinan tindakan RoS terhadap gabungan itu merupakan natijah agenda berniat jahat (mala fide) serta tekanan politik daripada pihak tertentu dari dalam dan luar PN.
Jelasnya, dakwaan itu dibuat selepas gabungan berkenaan menerima notis di bawah subseksyen 13(2), Akta Pertubuhan 1966 yang memberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi berhubung cadangan pembatalan pendaftaran PN.
Malah, katanya, cadangan pembatalan itu berkait dengan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung mesyuarat PN pada 16 Julai 2026.
Dalam pada itu, Kok Seong berpandangan penyatuan orang Melayu tidak semestinya bergantung kepada satu gabungan politik secara rasmi kerana kerjasama boleh diteruskan melalui pelbagai strategi.
Katanya, perkembangan politik semasa juga menunjukkan bahawa parti-parti masih mempunyai ruang untuk mencari bentuk kerjasama yang bersesuaian, khususnya ketika berdepan pilihan raya.
“Bagi saya, keadaan ini akan memberi ruang untuk bentuk secara formal atau tidak formal, yang membolehkan orang Melayu teruskan kerjasama,” katanya.
Beliau berkata, tindakan menggunakan kuasa dalam keadaan tertentu juga boleh menimbulkan pelbagai persepsi, terutama jika dilihat berlaku pada waktu yang sensitif.
“Kalau dilihat sebagai ada niat jahat, sebab agak terang, lagi bersuluh dengan timing (waktu) dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette
















