Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama alumni dan pelajar UiTM yang hadir pada Himpunan Mesra Alumni UiTM bersama YAB Perdana Menteri, di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2026.

SHAH ALAM – Kerajaan ketika ini masih dalam proses meneliti pengurusan dan kelemahan yang berlaku dalam isu UiTM Holdings sebelum sebarang tindakan diambil, kata Perdana Menteri.

“Ini juga ada kata kita kaji sekarang UiTM Holdings ini. Bukan kita beri hukuman sekarang. Kaji dulu. Apakah kelemahan biasa, itu diperbaiki, itu pengelolaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bersam Perdana Menteri Sempena Ulang Tahun Ke-70 UiTM di sini hari ini.

Sebelum ini, UiTM Goldings dilaporkan mengalami kerugian pra-cukai terkumpul sebanyak RM157 juta melibatkan beberapa tahun kewangan (2017, 2018, 2019, dan 2021).

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulangi punca kerajaan melewatkan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH).

Menurut beliau, ia sengaja ditangguhkan pendedahannya bagi memberi masa kepada kepimpinan institusi itu melakukan pemulihan, selain mengelakkan pencarum panik dan mengeluarkan wang mereka sehingga berisiko melumpuhkan TH.

Perdana Menteri berkata, keputusan menangguhkan pendedahan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan Pengerusi TH dan anggota jemaah pengarah pada ketika itu supaya institusi berkenaan diberi ruang memperbaiki kedudukan kewangannya terlebih dahulu.

“Lambat sebab Pengerusi Tabung Haji dan ahli jemaah pengerusi (pengarah) Tabung Haji bagi masa kepada mereka memulihkan dulu.

“Sebab bila bongkar banyak sangat, takut pencarum tarik wang daripada Tabung Haji. Maka kita tangguh dua tahun,” katanya ketika menjelaskan isu kelewatan pendedahan laporan RCI TH yang dibentuk sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

Anwar berkata, keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan untuk memastikan kelangsungan institusi berkenaan bukan bertujuan melindungi mana-mana pihak daripada tindakan undang-undang.

Sebelum ini, Anwar menjelaskan, pendedahan laporan berkenaan dibuat selepas TH berada dalam kedudukan lebih kukuh dan stabil manakala keputusan membentangkannya di Parlimen dipersetujui secara bersama oleh Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan bahawa tindakan susulan terhadap laporan RCI berkenaan bermotifkan dendam politik.

“Sekarang nak buka balik, orang kata ini dendam. Saya tak tahu siapa yang disiasat sama ada didakwa atau tidak.

“Siasatan itu urusan badan penyiasat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Memutuskan pendakwaan itu Peguam Negara, memutuskan penghakiman itu hakim,” ujarnya.

Anwar menegaskan, beliau tidak mempunyai kuasa menentukan sama ada seseorang perlu didakwa atau dihukum kerana perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa agensi penguat kuasa, pendakwaan dan mahkamah.

Beliau turut menjelaskan, isu berkaitan FELDA bukan perkara baharu dan berlaku sebelum pentadbiran kerajaan semasa.

Katanya, kerugian dalam pengurusan sesebuah syarikat semata-mata tidak boleh dijadikan asas untuk menghukum mana-mana individu kerana prestasi perniagaan boleh berubah antara keuntungan dan kerugian.

“Kalau tidak benar, rugi bukan sekadar kita ambil tindakan sebab dia rugi. Orang yang menguruskan syarikat-syarikat, kadang-kadang rugi, kadang untung.

“Kita hukum kalau ada penipuan, ada penyalahgunaan kuasa, ada sakau. Bukan sebab rugi. Banyak syarikat rugi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tindakan tegas perlu diambil sekiranya hasil penelitian mendapati wujud unsur kecurangan atau salah laku.

“Saya lebih strict dengan agensi Bumiputera, memang betul, kerana ini patut jadi contoh. Kita patut jadi contoh,” katanya.

Laporan RCI TH sebelum ini membabitkan penelitian terhadap pengurusan, operasi dan aset institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020. Laporan berkenaan kemudiannya didedahkan kepada umum dan membawa kepada beberapa siasatan serta pertuduhan di mahkamah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here