Ahmad Zahid Hamidi

MELAKA – Perlembagaan Persekutuan perlu difahami secara menyeluruh dan tidak boleh dibaca secara ‘àla carte’ atau mengikut selera dengan mengambil peruntukan yang menyebelahi pendirian sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, memahami Perlembagaan Persekutuan secara mengikut selera sendiri hanya akan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

“Perlembagaan tidak boleh dibaca secara à la carte dengan mengambil yang menyebelahi pendirian kita, lalu mengetepikan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional 3.0: Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka,Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Tegas Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, kefahaman terhadap sejarah perlu disertai dengan pengetahuan mengenai asas kenegaraan merangkumi susunan hak, kebebasan dan kesamarataan yang diperuntukkan Perlembagaan.

“Sejarah menjelaskan perjalanan kita manakala Perlembagaan menjadi panduan kehidupan bersama. Apabila membicarakan hak, kebebasan dan kesamarataan, kita mesti memahami keseluruhan susunannya,” ujarnya.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu difahami ialah Perkara 8 yang memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang selain Perkara 153 yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak dan kepentingan sah masyarakat lain.

Katanya, Perkara 160 pula memberikan takrif perundangan mengenai Melayu manakala kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan institusi raja-raja turut membentuk susunan negara yang perlu difahami secara menyeluruh.

Beliau berkata, kefahaman terhadap akar sejarah dan kedudukan peribumi tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menafikan hak masyarakat lain sebagai warganegara yang sah dalam negara ini.

“Dalam susunan ini, kita tidak perlu berasa apologetik untuk mempertahankan kedudukan sendiri dan kita mesti berlaku adil terhadap kedudukan orang lain.

“Mengiktiraf akar sejarah dan kedudukan peribumi tidak bererti menafikan tempat masyarakat lain dalam negara,” katanya.

Pada sidang medianya, Ahmad Zahid berkata, subjek sejarah dan bahasa Melayu sentiasa dikaji semula berikutan perubahan sosio budaya masyarakat negara ini.

“Kajian itu memang sentiasa perlu dilakukan berdasarkan pada sosio budaya yang berubah pada setiap waktu dan kalau kita lihat bahawa mata pelajaran Sejarah dan bahasa itu penting maka sebagai satu keputusan dasar mereka yang tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun daripada aliran vernakular atau aliran pendidikan Islam hanya menentukan bahawa mata pelajaran Sejarah dan bahasa Melayu menjadi wajib,” katanya. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here