JAKARTA – Perlawanan kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) Isnin ini, menjadi ujian sama ada Harimau Malaya bersedia menghadapi antara tekanan paling tinggi di pentas bola sepak Asia Tenggara.
GBK dijangka dipenuhi penyokong fanatik tuan rumah, menjadikan setiap sentuhan, keputusan di atas padang dan kesilapan kecil pemain Malaysia berada di bawah pemerhatian penuh emosi.
Bagi Malaysia, perlawanan itu menjadi pentas untuk membuktikan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh semalam bukan sekadar permulaan yang baik, tetapi cerminan sebuah pasukan yang semakin memiliki keyakinan dan hala tuju.
Bagi Indonesia yang menyasarkan kejuaraan pada edisi sulung kejohanan itu, aksi menentang Malaysia pula menjadi peluang untuk mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa bola sepak ASEAN, di hadapan penyokong sendiri.
Skuad Garuda hadir dengan kelebihan kedudukan dunia, berada di tangga ke-118 berbanding Malaysia pada kedudukan ke-136, namun jurang 18 anak tangga itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk pasukan negara turun dengan rasa gentar di GBK.
Kedua-dua pasukan mengutip tiga mata hasil kemenangan dalam perlawanan pembukaan, dengan Malaysia menewaskan Bangladesh manakala Indonesia mengatasi Singapura 2-0, sekali gus kemenangan di GBK akan memberi kelebihan besar kepada salah satu pasukan dalam perebutan satu-satunya tiket ke final.
Malaysia membawa 23 pemain ke Indonesia dengan kekuatan serangan yang semakin menarik perhatian, diketuai Arif Aiman Mohd Hanapi yang meledak dua gol ketika menentang Bangladesh.
Barisan itu turut diperkuat Mohamad Faisal Abdul Halim, Stuart Wilkin, Nooa Laine, Corbin-Ong dan kapten Dion Cools, selain kemasukan tiga muka baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp.
Bergson membuka akaun jaringan pada penampilan sulungnya ketika menentang Bangladesh, manakala Hidalgo dan Tapp turut diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama, sekali gus menampilkan dimensi baharu dalam pasukan kendalian ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe.
Namun, Indonesia hadir dengan kedalaman skuad yang lebih luas apabila ketua jurulatih John Herdman menyenaraikan 23 pemain, merangkumi tonggak tempatan serta pemain yang beraksi di Eropah dan luar negara.
Antara nama yang memperkuat Indonesia ialah penjaga gol Emil Audero dan Maarten Paes; pemain pertahanan Kevin Diks, Calvin Verdonk, Elkan Baggott, Justin Hubner dan Dean James; serta pemain tengah Joey Pelupessy, Thom Haye dan Ivar Jenner.
Di bahagian serangan, Indonesia mempunyai pilihan seperti Ole Romeny, Ragnar Oratmangoen, Luke Vickery dan Mitchell Baker, dengan Romeny serta Oratmangoen telah menunjukkan ancaman menerusi jaringan ketika menewaskan Singapura.
Hakikatnya, Malaysia tidak boleh datang ke GBK dengan hanya harapan untuk bertahan kerana dalam perlawanan berprofil tinggi, pasukan yang terlalu lama diasak akhirnya cenderung menghukum diri sendiri.
Memori kemenangan 3-2 Malaysia di GBK dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019 sewaktu Harimau Malaya dibimbing Cheng Hoe, membuktikan pasukan negara mampu mencipta keputusan besar di venue itu, namun sejarah tidak akan memberi sebarang mata.
Apa yang diperlukan ialah keberanian yang terkawal, disiplin taktikal dan ketenangan untuk menjadikan tekanan di GBK sebagai sumber semangat meraih kemenangan.
Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt manakala Indonesia akan menentang Bangladesh di GBK.- BERNAMA
















