Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dalam mesin pengisar daging di sebuah kilang pemprosesan ayam, di Bercham, Ipoh hari ini. Foto JBPM Perak

IPOH – Seorang lelaki Orang Asli parah selepas tangan kanannya tersepit dalam sebuah mesin pengisar daging di sebuah kilang pemprosesan ayam di Bercham, di sini petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.

“Setibanya jentera bomba di lokasi, didapati tangan kanan mangsa berusia 19 tahun itu masih berada di dalam mesin tersebut dan dia berada dalam keadaan sedar.

“Ketua operasi kemudiannya memohon bantuan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi untuk membius tangan mangsa kerana mangsa mengalami kesakitan ketika kerja-kerja menyelamat dijalankan.

“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER sebelum anggota menjalankan kerja-kerja memisah dan memotong mesin tersebut menggunakan peralatan khas cutter spreader sehingga ke bahagian acuan mata pengisar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha mengeluarkan tangan mangsa bagaimanapun tidak berjaya kerana acuan mata pengisar diperbuat daripada keluli tahan karat dan keadaan mangsa dilihat semakin lemah.

“Hasil perbincangan dengan pasukan KKM, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.

Katanya, operasi itu tamat sepenuhnya pada jam 6.30 petang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here